Thursday, April 23, 2009

Terima kasih sahabat..

Terima kasih sahabat
kerana hadirmu
amat mendamaikan
menyejuk rasa

yang hangat membara.

Terima kasih sahabat
kerana mengirimkan
bunga-bunga kasih
yang kembang mekar
harum mewangi

di taman hati.

Terima kasih sahabat
kerana memberikan
segumpal semangat
meneruskan perjuangan
muhasabah diri
dalam mencari
keredaanNYA.

Tuesday, April 21, 2009

Setulus Setia Seindah Nama

" Betapa Rasulullah S.A.W setia pada Khadijah, tiada seorang pun yang mampu mencapai takhta at-Tahirah dalam hati baginda S.A.W. Tidak juga Aisyah isteri yang dicintainya. Rasulullah S.A.W setia kepada semua isteri baginda, mengasihi setiap seorang dengan nilai masing-masing...."
Novel karya Siti Haznena Abdul Hamid ini amat sesuai dibaca bagi penggemar novel yang inginkan kelainan. Setiap patah katanya mengandungi makna tersirat. " Kalau adik jumpa, belikan untuk kakak ya." begitu berminat kakakku yang sorang ni.
Novel ini mengisahkan seorang lelaki yang bernama Bushra, telah memohon jawatan sebagai guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen yang dimiliki oleh seorang gadis yang bernama Nazneen Ilyasa'. Sebenarnya Bushra merupakan seorang pekerja pencari jodoh Agensi Mahligai yang diminta oleh adik Nazneen iaitu Hakeem untuk menolong mencari jodoh untuk kakaknya. Sepanjang perkenalannya dengan Nazneen, Bushra telah tertarik dengan Nazneen dan terdetik di hati untuk memiliki Nazneen disebabkan oleh penampilan serta budi bahasa yang menarik berbanding dengan kekasihnya Zasha. Namun, Nazneen ialah seorang wanita yang mempunyai prinsip hidup tersendiri. Lamaran dari Kazim tidak dapat diterimanya kerana perbezaan pendapat mengenai konsep perkahwinan dalam Islam. Pertemuan semula dengan Alif, iaitu bekas sahabat yang dicintai telah menyemarakkan semula rasa kasih yang telah kecundang dan tertewas oleh pilihan sahabatnya itu sendiri yang telah mengahwini sahabat baik mereka. Akhirnya...jangan lupa membaca novel ini....menarik!

Seawal pagi...

Maha Suci Allah yang menjadikan langit dan bumi...penuh dengan ketenangan...di awal pagi ini..terbangun..Alhamdulillah masih diberi nafas untuk meneruskan perjuangan dalam mencari keredaanNYA..namun entah mengapa kenangan tetap hadir..bersemarak...lalu kuhimpun segala kenangan dan akan kupaparkan di sini...moga tetap bersemadi di hati...

Monday, April 20, 2009

Azan...


Suaranya berkumandang lagi...memperdengarkan seruan azan...memuji-muji nama Pencipta...Maha Suci Allah..Yang Maha Besar, Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani...Merdu juga suara si kecil itu. Ada bakat terpendam rupanya. Semenjak menjadi Johan pertandingan Azan peringkat Kawasan, dia begitu rajin pergi awal ke surau . Kembang kempis hidungnya bila dipuji. Moga ilmu yang diperolehinya dapat diamalkan sebagai bekalan menuju alam dewasa. InsyaAllah.

Friday, April 17, 2009

Yang Jauh..



Abangku sorang ni memang hobinya hampir serupa denganku. Suka bergambar, melukis dan melancong.Cuma dia lebih pandai. Sekarang dia berulang alik dari KL ke Tehran. Sempat juga mengirimkan gambar-gambarnya di sana. Terkadang rasa cemburu juga dengan rezeki yang diperolehinya. Namun masih tetap bersyukur. Mungkin dia lebih merasa keperitan untuk membina hidup. Justeru rezeki untuknya melimpah ruah. Anak kesayangan mak ni memang pandai mendidik. Anak-anaknya semua berjaya. Ternyata tidak sia-sia didikan ayah dan mak. Kasihkan Allah melebihi segala, solat jangan dilupa, hidup akan berjaya..dunia dan akhirat.. Alhamdulillah!

Monday, April 6, 2009

Taman Hati


Kulingkari hati dengan sebuah taman
Agar ia mampu menyejukkan rasa
Yang sering gundah gulana.
Kutanam pepohon harapan
Agar ia dapat memayungi jiwa
Yang tandus dan gersang.
Kubajai dan kusirami akar kehidupan
Dengan bekalan ketabahan dan semangat kental
Agar tidak layu dipanah mentari uji.

Taman hati,
Kupagari dirimu dengan tembok keimanan
Agar ia menjadi benteng
Menahan arus gelombang kehidupan.
Kuhiasi dirimu dengan bunga-bunga impian
Agar ia berkembang mekar
Mengharum kasih setulus hati,
Cinta abadi.

Andai..

Andai dapat diulangi sebuah pertemuan
akan ku sandarkan kata-kata hikmah
agar mampu memujuk rasa
yang kian gundah
membelit sangkar hati

Andai hati dapat kuselami
akan ku taburkan bungaan kasih
mekar mewangi di taman firdausi...

Andai aku ,menjadi kamu
mampukah rasa ini dipertahankan...?
sesekali..berkocak jua..
benteng..
keimanan...