Monday, March 29, 2010

Suntikan semangat....

Proses menulis memerlukan pengorbanan masa dan tenaga..jua kreativiti berbekalkan semangat juang yang tinggi...Saya begitu teruja membaca buku 'Proses Penciptaan Menulis Untuk Remaja' yang diselenggarakan oleh Allahyarham Dr. Othman Puteh terbitan DBP (1991) yang memaparkan pengalaman beberapa orang penulis terkenal di dalam proses penciptaan sesebuah hasil penulisan. Ternyata kebanyakan penulis memulakan proses penulisan berdasarkan pengalaman sendiri untuk dipaparkan kepada khalayak berbekalkan dorongan dan semangat yang tinggi. Justeru, buku ini telah menyuntik semangat saya untuk menulis. Jom teruskan perjuangan sahabat-sahabatku...!

Sunday, March 28, 2010

Di Sini Kasihku Tertumpah










Sehijau bumi luas terbentang
Sebiru langit saujana pandangan
Seindah gunung-ganang tersusun berjajaran
Sejernih air sungai yang mengalir
Di sini kasihku tertumpah.

Semesra ombak menghempas pantai
Selebat turunnya hujan
Sepanas teriknya mentari
Sesegar tumbuhan menghijau
Seharum bunga mekar berkembang
Di sini kasihku tertumpah.

Sehebat pejuang-pejuang bangsa
Semarak perjuangan mempertahankan negara
Segumpal semangat tetap membara
Seteguh wawasan menggapai cita
Satu Malaysia menuju jaya
Nur Ain Hanis
Berita Minggu 28 Mac 2010

Saturday, March 27, 2010

Dalam rasa itu..

Sahabat..
Setulus rasa...
moga bahagia tetap bertamu...
dalam kasih dan reda-Nya..
Subhanallah..!

Saturday, March 20, 2010

Mengutip Memori....



DI PONDOK USANG ITU

Aku melabuhkan diri
di pondok usang itu
merenung seribu kisah silam
mesra segar dalam ingatan
sarat di lubuk kenangan.

Di situ aku melihat tawa bonda
tanpa jemu melayan kerenahku
yang nakal dan manja
tubuh bonda kupaut mesra
wajah bonda memancar ceria.

Terdengar-dengar suara ayahanda
lembut berbisik dalam tegas mendidik
menitipkan butir bicara penuh pedoman
mengajariku tunjuk tauladan.

Dalam sarat mengimbau kenangan
tanpa sedar air mata kutitiskan
merenung sunyi yang bertandang
memenuhi ruang pondok usang
yang kini sepi ditinggalkan.

Kukutip kembali memori silam
di pondok usang bisu dingin
kuhimpunkan segala kenangan
kusulam rindu dan kasih di jiwa.

Di pondok usang itu
kutitipkan setulus doa
buat ayahanda dan bonda
di situ kenangan mengelus rasa

memahat kasih untukmu berdua

Berita Harian (15 November 2008)

Thursday, March 18, 2010

Menghayati sebuah perjuangan

Dalam kesibukan ini..sempat juga singgah di TV 1 malam ini...menitis jua air mata melihat anak-anak cilik yang berbakat membuat persembahan mereka dalam Program Akhir Realiti TV Adik-adikku....menghayati perjuangan Rasulullullah sebagai Murabbi...Tahniah buat mereka...! moga perjuangan ini akan berterusan bagi mendidik anak bangsa supaya tidak terus lalai dan leka...Subhanallah!

Tuesday, March 9, 2010

Perjuangan Cinta Rasulullah

Di saat purnama mengambang
Di kala gemerlap bintang bertaburan
Seluruh penghuni alam bertahmid memuji kebesaranNya
Dalam menyambut kelahiran Rasul junjungan.

Rasul kekasih Allah
Kelahiranmu membawa cahaya
Menyinari segala kegelapan
Memberi petunjuk arah kehidupan
Menuju ke jalan kebahagiaan.

Rasul junjungan kita
Insan berakhlak mulia
Menjadi contoh terpuji
Menyampaikan amanah Allah
Membimbing dan mendidik umat
Mengasihi dan mencintaiNya.

Rasul Pembina ukhuwah
Khalifah manusia sejagat
Menyatukan seluruh manusia
Menegak Islam tercinta
Pembakar obor semangat
Dalam perjuangan mencari redaNya.

Kehadiranmu ditunggu-tunggu
Kepulanganmu ditangisi
Amanatmu menjadi bekal
Cintailah Allah melebihi segalanya
Kerana cinta itu akan kekal abadi.

SALAM MAULIDUR RASUL

NUR AIN HANIS
Seri Rawa, Kedah.
(Berita Minggu: 7 Mac 2010)