Tuesday, February 22, 2011

Bila dedaunan berguguran



Menyusuri lorong berliku
menggamit nostalgia silam
melihat dedaunan jingga
bagai dilukis
indah berseri
menambat di hati.

Bila dedaunan
jatuh berguguran
kering layu
menghampar jalanan sepi
hati dipagut resah
siapakah yang mengerti?
bahagia di hati
pasrah dalam diri.

Tuesday, February 15, 2011

Salam Maulidur Rasul



Salam rindu buatmu kekasih Allah (S.A.W). Moga syafaatmu merahmati perjalanan hidup umat seluruh alam.
Salam kasih abadi setulus hati.



Hakikat Cinta Rasulullah

Sejernih air mengalir
membasahi rasa yang tulus
seputih salju yang terhampar
meliputi hati yang kudus
sejernih embun menitis
menyejuk secangkir harap
begitulah!
hakikat sebuah cinta
Rasulullah pembimbing umat.

Cinta itu tidak pernah mati
hidup subur di lembah ketaqwaan
berbunga harum di taman kerinduan
sentiasa mekar berkembang
dibajai cahaya keimanan
menyuluh jalan kehidupan.

Sehebat cinta pada-Nya
menggunung kasih dan rindu
biar pedih tercela
walau luka tercalar
andai nyawa melayang
tetap teguh berdiri
menegak tiang perjuangan.

Hakikat cinta Rasulullah
pencetus obor semangat
pemangkin wawasan dijulang
pencerna satu gagasan
seluruh dunia menyeru
Islam agamaku, hidupku dan matiku!

Friday, February 11, 2011

Semangat menulis

Dua buah novel telah saya habiskan. Ada dua lagi...sekurang-kurangnya semangat menulis masih ada..walau tak tertulis. Komen Dr Osman Ayob tentang sinopsis novel saya, klise..namun boleh diperbaiki jika pandai menyusun ayat menjadikan cerita lebih menarik. Sememangnya novel-novel cinta banyak di pasaran. Tema yang dipaparkan oleh penulis banyak yang sama. Namun tetap menarik pembaca kerana pengolahan penulis yang berbakat. Ada bakat ke saya ni..hmmm..baru nak mencuba. Namun masa begitu terhad.Akan saya cuba... Temani saya ya sahabatku..;)

Bayangan Cinta

Semarak rindu berkocak
samudera menghempas bahtera kaca
pecah berderai meraut luka hati
peluh dingin
membasahi ruang rasa
dalam resah
aku tertunduk
tercari-cari bayang
yang hilang entah ke mana
pedihnya cinta!

Wednesday, February 9, 2011

Ini Buku Saya

Gelagat Adi dan Shafiq menyentak tumpuanku untuk menerangkan 'Cara-cara Menjawab Soalan Pemahaman' kepada pelajar-pelajar kelas 1 Bestari 3 itu.

"Cikgu! Adi dan Shafiq berebut buku" Shamin selaku ketua tingkatan bersuara kuat menerjah telingaku.

Kulihat mereka berdua menarik baju sesama sendiri. Pelajar-pelajar lain mula memberi tumpuan kepada mereka.

"Adi dan Shafiq, sila ke hadapan!" suaraku memecah keheningan blok C banggunan sekolah Seri Rawa yang tersergam indah itu.

"Shafiq curi buku saya cikgu, tengok ini tulisan saya, format menulis ringkasan dan pemahaman" Terketar-ketar Adi bersuara untuk menyakinkanku.

Pelajar-pelajar lelaki mula mengelilingi meja guru. Rimas pula aku dibuatnya.

"Ya cikgu, Shafiq memang suka mencuri, dekat kampung dia curi basikal adik saya" Shamin pula menambah.

"ini buku saya cikgu, dah banyak saya tulis. Cuba cikgu tengok buku karangan ini, sama tak dengan tulisan saya?" Shafiq mempertahankan dirinya. terkial-kial dia menunjukkan buku karangannya kepadaku.

Eh! hampir sama. Aku menilik di dalam hati. Terdapat dua jenis tulisan di dalam buku itu. Kedua-dua jenis tulis itu menyamai tulisan Adi dan Shafiq. Buku siapa ini?. Aku jua jadi keliru. Sukar untuk aku beri jawapan. Rakan-rakan Adi menyokongnya dan menuduh Syafiq yang mencuri buku Adi. Sememangnya Adi juga malas menulis. Buku latihannya selalu diletakkan dimerata-rata tempat. Memang patut kena curi. Aku berleter di dalam hati.

"Baik, sekarang ikut cikgu ke bilik guru. Kalau kamu berdua tidak mahu mengaku, saya perlu bawa kamu berjumpa penyelia tingkatan" Aku membuat keputusan untuk meredakan ketegangan. Suasana di dalam kelas riuh rendah. Sebagai guru, aku perlu meneruskan aktiviti pembelajaran pada hari itu walaupun objektif pengajaran tidak tercapai sepenuhnya.

Sunday, February 6, 2011

Suburnya Kenangan 1

Hujan turun mencurah-curah pagi itu. Kedinginan pagi mencengkam tulang. Bunyi katak bersahutan membingitkan telinga. Kedengaran suara emak mendayu-dayu membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Idayu mencelikkan matanya. Sememangnya sudah rutin harian, emak bangun di sepertiga malam, menunaikan solat tahajud dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebelum tibanya solat subuh. Idayu teringin untuk menjadi seperti emak, namun masih tak mampu untuk menahan rasa mengantuk dan mungkin juga godaan iblis yang dilaknat Tuhan!
Suara azan berkumandang mendayu-dayu kedengaran dari corong radio menandakan waktu subuh. Idayu tergesa-gesa bangun untuk mandi dan menunaikan solat subuh berjemaah dengan emak dan ayah.
“Eh, mak masak bihun goreng ya, sedapnya” Idayu meyapa mesra emaknya yang sibuk menyediakan sarapan. Setiap pagi emak tidak pernah lupa menyediakan sarapan untuk mereka. Sememangnya itulah rutin hariannya.
Mereka bersarapan bersama-sama. Ayah makan dengan penuh berselera, Sememangnya bihun goreng merupakan makanan kegemaran ayah. Idayu menghabiskan bihun goreng dan memasukkan sedikit ke dalam bekas sebagai bekalannya ke sekolah. Waktu rehat tidak perlu membeli makanan dan duit yang dibekalkan oleh ayahnya akan disimpan di dalam tabung. Keperitan hidup susah sentiasa menyedarkan Idayu betapa pentingnya amalan berjimat cermat.
Tubuh kurus Idayu dengan cergas memasukkan buku-buku yang telah dipilihnya mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan ke dalam beg sekolahnya. Beg tersebut diletakkan dibahagian belakang basikalnya dan diikat dengan tali getah supaya tidak terjatuh. Idayu mengayuh basikalnya perlahan-lahan menuju ke rumah sahabat baiknya Nur Hana.

Tuesday, February 1, 2011

Aku Jua Ingin Menyepi

Andai sepi itu indah
nikmati ia dengan sekuntum pasrah
walau dedaunan masa tetap datang dan pergi
menyusur selaut rasa
menyimpul gundah.

Andai rindu itu pedih
mencengkam segunung resah
biarkan ia berlalu pergi
aku tidak akan mengejarnya lagi...sungguh!

Aku jua ingin menyepi...