Tuesday, August 31, 2010

Di Persada Merdeka

Kembali kita ke detik kegemilangan iaitu tarikh bermulanya kemerdekaan tanahair dengan harapan setulus doa moga detik yang menjelang ini akan menjadi lebih baik dari detik-detik yang telah ditinggalkan. Salam Merdeka!

Di persada merdeka ini
anak-anak bangsa berlarian
mengejar arus pemodenan
globalisasi kian mencerlang
gemilang dan terbilang
merentas sempadan maya
menutupi nilai insani
yang kian tumbang
rebah ke bumi.

Friday, August 27, 2010

Bila Hati Ada Rindu


Tetap merindui kenangan itu...kerana rindu itu adalah anugerahNya yang tak mampu terucap...merinduimu sahabat!

Tuesday, August 24, 2010

Kekasihku Ramadan

Kekasihku Ramadan
kau hadir lagi
membawa cinta syahdu
terleka aku
diulit rindu
menghimpun kasih
wangi bersemarak
mengharum di segenap alam.

Wednesday, August 11, 2010

Ramadan Yang Di Rindu

Salam Ramadan...bertemu lagi di bulan yang penuh barakah ini. Moga kita akan beroleh rahmat hingga ke hujungnya. Selamat berpuasa buat semua rakan-rakan seperjuangan.

Kusimpulkan rindu
di Ramadan ini
bernaung di payung rahmat-Mu.

Sunday, August 8, 2010

Di Waktu Yang Sedetik Itu

Hati, mengapa aku resah dan berdebar-debar apabila melihat wajahnya. Ada seraut ketenangan di situ. Tidak mampu kutafsirkan. Lirikan matanya seakan-akan mahu menyapa. Gerak bibirnya bagai mahu menuturkan bicara. Namun hati ini tetap hampa. Apalah yang terdaya. Aku hanya insan yang lemah. Tidak mampu untuk mengejar pelangi yang indah. Walau hadirnya hanya sementara namun tetap menguntum bunga-bunga rasa. Berkembang mekar, indah dan mengasyikkan. Duhai hati...damailah kau di taman keredaanNya dalam tunduk dan patuh. Subhanallah!

Wednesday, August 4, 2010

Mula menulis

Dalam kedinginan malam yang sepi..hanya kedengaran suara-suara unggas bersahut-sahutan, mungkin sedang bertasbih dan berzikir memuji keagungan Maha Pencipta. Dalam pedih menahan rasa mengantuk, kuteruskan juga perjuangan diri untuk memulakan tugas...menulis perenggan demi perenggan dan akhirnya hasilnya memuaskan hati sifu...hmmm berjaya jua akhirnya..Alhamdulillah!...dan akan kucuba untuk meneruskannya..insyaAllah!

Sunday, August 1, 2010

Taman Hati

Kulingkari hati dengan sebuah taman
agar ia mampu menyejukkan rasa
yang sering gundah gulana
kutanam pepohon harapan
agar ia dapat memayungi jiwa
yang tandus dan gersang
kubajai dan kusirami akar kehidupan
dengan bekalan ketabahan dan semangat kental
agar tidak layu dipanah mentari uji.

Taman hati
kupagari dirimu dengan tembok keimanan
agar ia menjadi benteng
menahan arus gelombang kehidupan
kuhiasi dirimu dengan bunga-bunga impian
agar ia berkembang mekar
mengharum kasih setulus hati
cinta abadi.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa, Kedah.

Berita Minggu(1 Ogos 2010)