Tuesday, December 28, 2010

Kaktus Persahabatan~Faizah Razali

Kutinggalkan kaktus ini khusus
untukmu
dengan pesanan: ia mudah hidup
biarpun berhari-hari kau biarkan
tuntas
iakan tetap besar dan bercambah
kerana ia belajar bernafas dari
gersang tanah
asalkan setiap kali kau melintasi
lemparkan senyummu di sini
tahulah aku, kau sayang padanya
kuhadiahkan kaktus yang masih
kecil ini
kepadamu, peliharalah
dengan kemanjaan dan perhatian
berikan ia pasu baru bila tiba
waktu
ia akan remaja dan dewasa
tajam durinya lambang
kemurniaan hatimu
sahabat, kalau kaktus itu aku
sudikah kau senyum dan tukarkan
pasu
sedangkan kau tahu duriku
akan melukakan jarimu
lalu tidak lagi kurasakan sentuhan
yang tinggal mungkinlah perhatian
menjadi baja menyuburkan
ingatan.

Friday, December 10, 2010

Anugerah Kecemerlangan UPSR 2010


Tahniah kepada Muhammad Faiz dan rakan-rakan yang menerima hadiah anjuran Felda Wilayah Alor Setar bertempat di Hotel Sri Malaysia pada 8 Disember 2010.Moga kejayaan ini akan menyuntik semangat untuk terus berjaya di masa hadapan. InsyaAllah...

Wednesday, December 8, 2010

Reunion smtb~5 Disember 2010


Bertemu semula selepas 24 tahun terpisah
menggamit nostalgia
dalam mesra kasih
riang menyapa
rindu kembali bertaut
di alam realiti...
terima kasih teman
kerana memberiku setitis rasa ini
dalam kasih dan rindu...

Tuesday, December 7, 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Salam Maal Hijrah buat semua. Moga yang berlalu menjadi pengajaran dan yang akan datang bakal menjadi terbaik buat diri kita. InsyaAllah.

Tuhanku....kepada-Mu aku tunduk dan patuh
berikan kami hidayah-Mu
moga menjadi petunjuk menuju jalan keredaan-Mu
selamat terus berjuang sahabat-sahabatku
Salam kasih abadi.

Friday, November 19, 2010

Segugus Rasa Di Pohon Cinta



Pohon cinta berbunga harum
menyubur rasa mewangi
di taman hati
rindu tetap hadir
menyelimuti dedaun masa
dalam rasa kian mencengkam...

Wednesday, November 17, 2010

Aku,dia dan kek (Selamat Hari Lahir)


Salam Aidil Adha...Sepotong Kek..Selamat Hari Lahir..Mengingati sebuah pengorbanan...seorang ibu yang kukasihi...kerana bersusah-payah melahirkanku...pada hari ini..sepotong kek ini adalah tanda kasihku buat semua yang mengasihiku...jom makan..;))

Friday, November 12, 2010

Dan Di Waktu Itu


Mengenang senja hati merindu
entah mengapa
senja yang indah
menawan hati
menusuk di jiwa
alangkah indahnya
andainya aku masih di situ
mendakap pelangi senja
yang pastinya
akan pergi jua...
Dan di waktu itu
aku jua tetap merindu.

Thursday, November 11, 2010

Monday, November 8, 2010

Seorang Ibu Tua

Tatkala aku sampai di perkampungan sepi itu,dedaunan bagai menyambut kedatanganku dengan senyuman yang dibasahi zikir. Memuji-muji nama Allah, Pencipta sekalian alam. Seketika aku dipagut sendu. Betapa dedaunan ini masih setia menyambut huluran salam. Biarpun bertahun lamanya dibelenggu sepi dan luka terpinggir keseorangan.

Kulihat seorang ibu tua, terbongkok-bongkok, mencari ranting-ranting pepohonan yang kering untuk dibuat kayu api. Seribu kerut diwajahnya menggambarkan usianya hampir mencecah sembilan puluh tahun. Betapa masih panjang usianya untuk menghirup udara di dunia ciptaan Tuhan ini. Alhamdulillah, rasa syukurku menyelinap ke seluruh ruang rasa. Betapa aku masih lagi diberi peluang untuk mengisi ruang-ruang sepinya, berceloteh dan menyulam kasih untuknya.

Seketika, aku jua melihat seorang lagi ibu, yang kini jua sepi keseorangan memandang jauh ke hadapan. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Subhanallah! Betapa dia diberi kekuatan untuk mengharungi liku-liku kehidupan ini dengan tabah dan pasrah.. Sungguh!..doaku sentiasa mengiringinya dalam kasih yang tulus. Berderai jua air mata ini.

Dan di suatu sudut....aku masih lagi terlihat...dia yang masih terlantar...belum menerima hidayah-Nya kerana dia tidak pernah sedar...jua mungkin tidak akan sedar..apakah untuk selamanya..aku jua tidak pasti..dalam rasa kesal...pasrah tetap menghimpit..!

Sunday, November 7, 2010

Selamat Hari Lahir


Di hari kelahiranmu ini...kudoakan moga kehidupanmu diberkati dan dirahmati-Nya dan tabah meneruskan perjuangan hidup dalam mencari reda dan kasih-Nya. Selamat Hari Lahir yang ke 14 Muhammad Nabil.Doa setulus kasih dari kejauhan ini.

Friday, November 5, 2010

Aku Cinta Dia~Sharifah Abu Salem

~Tak terusir lagi rasa rindu ini bila kau iringi tiap detik helaan nafasku~

Melihat kepada tajuk novel ini terlintas di fikiran bahawa novel ini adalah seperti novel-novel percintaan yang lain. Namun setelah dibaca, ternyata telahanku ini tersasar. Novel ini bukan seperti novel cinta biasa, namun penuh dengan hikmah dan pengajaran yang membawa ke arah mencintai-Nya melebihi dari segalanya. Sedetik terfikir, terkadang kita melupakanNya apabila kita tenggelam di lautan cinta. Justeru, moga kita sentiasa beringat dan bermuhasabah diri.. Siapakah kita? seorang insan yang dijadikanNya untuk menunaikan tanggungjawab dalam mencari kasih dan redaNya..Subhanallah!

Aku Cinta Dia~memaparkan sebuah penempatan yang diberi nama Wadi Saffiyah yang diterajui oleh Suami Isteri iaitu Haji Mukri dan Ustazah Saffiyah yang memberi bimbingan dan pemulihan akhlak kepada anak-anak remaja yang tersesat jalan dan ingin kembali ke pangkal jalan. Suasana yang digambarkan oleh penulis amat mengujakan. Seakan pembaca berada di Wadi tersebut. Plotnya tersusun kemas. Gaya bahasa yang indah menarik hati saya untuk terus membacanya. cerita dimulakan dengan monolog dalaman ustaz Iqbal yang menghayati perjuangan ibubapanya yang menerajui wadi tersebut. beliau merupakan putera sulung yang sanggup berkorban membantu kedua ibubapanya memulihkan akhlak penghuni-penghuni wadi tersebut. Seorang pemuda yang berketrampilan,perwatakan menarik, mencintaiNya dari segalanya dan disukai oleh gadis-gadis penghuni wadi tersebut. Pelbagai ragam gadis-gadis penghuni Wadi itu yang berjaya mencuit hati. Antara Ustazah Umairah (anak angkat Haji Mukri dan Ustazah Saffiyah) yang mencintai Ustaz Iqbal dalam diam. Seterusnya gadis kota yang bernama Shira yang jua menyimpan perasaan kepada Iqbal. Sifatnya yang irihati selalu menyusahkan rakan-rakannya di penempatan tersebut. Kehadiran Nur Dania yang sedang mengandung anak luar nikah ke penempatan itu telah membuka pelbagai kisah suka dan duka. Iqbal telah jatuh hati pada Dania. Ini menimbulkan kebencian Shira serta membuatkan Ustazah Umairah cemburu. Cerita ini banyak menimbulkan pelbagai persoalan. Kisah fitnah yang ditimbulkan oleh Shira kepada Dania dan Ustaz Iqbal,ustazah Umairah yang ingin dijodohkan dengan Iqbal serta kehadiran adik Iqbal iaitu Qabil yang tanpa diketahui keluarganya telah merosakkan Nur Dania. Justeru Dania amat tertekan kerana hatinya telah terpaut kepada Iqbal. Penulis bijak mencari jalan penyudah cerita di mana, Qabil telah meninggal dalam kemalangan dan Nur Dania telah selamat melahirkan anaknya. Iqbal yang mengetahui kisah Dania dan Qabil telah berusaha untuk menawan hati Nur Dania Semula. Penyudah ceritanya, Walaupun terluka, Dania masih memberi harapan kepada Iqbal.

Saya tertarik kepada pengajaran yang ingin ditonjolkan oleh penulis melalui petikan surat Iqbal kepada Nur Dania iaitu:

Saya bersyukur kerana diberikan perasaan ini. Tetapi percayalah, perasaan ini tidak akan sampai melalaikan saya daripada mengingat dan lebih mencintai-Nya.

Ada syarat yang harus saya letakkan andai Nur Dania ingin mencintai saya. Nur Dania harus lebih dulu menyerahkan cinta pada Yang Maha Kuasa, kemudian Rasul-Nya, kemudian ibu dan bapa Nur Dania, dan jika tersisa...berikanlah cinta itu pada saya.


Lembut sekali pengolahan ayatnya..ternyata memberi kesan kepada saya..moga kita jua mendapat pengajarannya.InsyaAllah!... Saya kembali bersemangat untuk menulis...dalam lebat hujan yang kian mencurah...

Tuesday, November 2, 2010

Cinta Sepi


Kau kata kau cinta.Tapi mengapa kau membisu sahaja? Jawabmu, aku bukan tak cinta, namun aku malu sendiri. Siapalah aku di hatimu. Insan yang tak punya segala. Keindahan cuma di hati. Ahhh! perasaan, mengapa kau hadir lagi? Tentu kerananya, kita sering diuji. Terpulang pada hati. Oh hati! Mengapa jadi begini? Jawabnya, aku cinta dia.

Selebat Hujan Yang Turun...

Musim silih berganti...dan kini rintik-rintik hujan kian lebat membasahi bumi, mengalirkan deruan air yang menumpahkan segalanya ke segenap ruang di negeri tercinta ini. Banjir telah melanda!..Moga kita sentiasa beringat..!

Monday, November 1, 2010

Masihkah Kau Ingat

Lagu "Masihkah kau ingat" kedengaran menusuk di hati....terselit bait-bait indah..damainya sebuah rasa...

Saturday, October 30, 2010

Kasih Tak Terungkap~Anna Raihana

Hampir berbulan lamanya saya tidak membaca novel. Mungkin kerana kesuntukan masa..dan semalam saya cuba untuk menyuntik semangat menulis saya yang agak lama ditinggalkan dengan membaca novel karya Anna raihana ini.
Penulis ini membicarakan tentang kisah seorang wanita yang disukai oleh dua orang lelaki yang dikenalinya semasa remaja. Khairina menyimpan perasaannya kepada Khalif. Namun tak terluah kerana ibu Khalif amat membenci ibunya. Perkenalan dengan Ikhwan yang datang bercuti ke kampung mereka telah menyebabkan persahabatan terjalin antara mereka. Khalif jua menyimpan perasaan terhadap Khairina. Namun Ikhwan terlebih dahulu mencurahkan rasa hatinya buat Khairina dan sanggup meninggalkan keluarganya yang kaya-raya untuk mengikuti Khairina menyambungkan pelajarannya ke luar negara. Ikhwan akhirnya berkahwin dengan khairina tanpa pengetahuan keluarganya. Akhirnya Ikhwan di panggil pulang oleh keluarganya untuk menguruskan syarikat ayahnya. Dia meninggalkan Khairina tanpa mengetahui isterinya mengandung. Kepulangannya di sana disambut gembira oleh keluarganya. Ikhwan dipaksa berkahwin dengan anak kenalan ayahnya untuk menyelamatkan syarikat ayahnya yang mengalami kerugian. Peristiwa tidak di sangka berlaku, Ikhwan telah mengalami kemalangan jalan raya dan ridak sedarkan diri.Khairina menderita kerana merindukan Ikhwan. Khalif sentiasa mengikuti perkembangan Khairina dan amat terperanjat mengetahui perkahwinan Kharina daripada ibu Khairina. Oleh kerana simpati jua masih ada rasa cinta di hati, Khalif sanggup mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga Khairina yang sarat mengandung di luar negara. Setelah habis pengajiannya di luar negara, Kharina telah pulang dan menemui suaminya yang telah berkahwin. pelbagai peristiwa berlaku, namun kasih mereka tak mampu dipisahkan..walau banyak hati terluka..ternyata cinta ada dihati..walau tak terungkap..tetap bahagia...walau hanya di hati..

~Di hati, ada cinta, ada sayang, dirasa, aku terseksa. Nak kuluahkan, aku tak berdaya. salahkah aku mencintainya?~

Sunday, October 24, 2010

Kembara Sastera~ASASI-KTM-DBP

Keretapi malam bergerak perlahan
menuju destinasi
segunung harap
bertaut rasa
di hujung mimpi...

(21-24 Oktober 2010)

Seawal jam 7.00 petang, saya dan Dahna menempatkan diri di Stesyen Keretapi Alor Setar. Di situ kami bertemu dengan sdr Nordarus yang ditemani keluarganya. Seterusnya, stesyen keretapi itu mula riuh dengan kehadiran, sdr ruhie isma, zakiah bahari,Amelia Hashim, dato' Abdul Halim (R), Zaidin Abadi, Wadiasofi,Sdr Hambali dan sdr Abd. Rahim Omar ( staf KTM). Pelbagai cerita dari rakan-rakan yang rata-ratanya tersesat jalan masuk ke stesyen ini. hampir jam 8.00 malam, kami menaiki koc (Event)yang telah ditempah khas untuk ahli rombongan. Suasana makin meriah dengan kehadiran rakan-rakan dari stesen Sg. Petani iaitu Ketua Satu ASASI, Dr Osman Ayub, Hasan Baseni Budiman, Jamaludin D, Ismail Restu,Saari AB, sdr Faridah, sdr Ibrahim,.....
Acara bermula dengan bacaan tahlil oleh ahli-ahli ASASI, seterusnya bicara karya yg membedah karya penulis-penulis dahna, nur ain hanis....banyak ilmu yang saya dapat terutama dalam pemilihan tajuk sajak..perlu menarik perhatian...kata-kata perlu ada nyawa...bebas...ringkas tetapi padat...wah! makin bersemangat nampaknya..pukul 4.oo pagi baru boleh melelapkan mata...Kami sampai ke destinasi pada jam 5.30 pagi. Pihak DBP telah menyediakan bas untuk kami terus ke penginapan di Puspanita, jalan Hose, Kuala Lumpur. Pagi itu juga kami meneruskan acara melawat DBP dan bertemu dengan editor-editor majalah DBP. Masing-masing terlentok kerana mengantuk..he..he. Pada petangnya...kami di bawa melawat ke DAWAMA sdn.bhd untuk melihat perjalanan proses penerbitan buku-buku terbitan DBP. Dan acara malamnya menyusul. Ke rumah Gapena untuk acara bacaan puisi dan tahlil sempena ulang tahun ke 40 Gapena. Keesokan harinya bertemu dengan peneraju utama Gapena yang diwakili oleh TS Ismail Hussien & Tn.Hamzah Hamdani dan sahabat-sahabat yang lain. Tepat 3.30, dalam hujan renyai, kami bertolak ke KL Central dan berkampung di Bilik VIP. Acara membeli-belah di persekitaran Masjid Jamek dan seterusnya kami bertolak pulang dengan acara pada malam itu yang membuatkan kami tidak dapat tidur. Bicara karya 'Mencari Sejalur Sinar'novel remaja penulis Faridah Haron oleh Dr Osman Ayob memperkatakan tentang rekabentuk kulit novel yang perlu diperbaiki dan memberikan pujian tentang penghasilan karya Faridah Haron. Sesungguhnya pengalaman bersama-sama penulis-penulis terkenal ini memberikan suntikan semangat untuk saya meneruskan perjuangan di arena penulisan ini. Sokongan dari sahabat-sahabat jua amat saya harapkan...moga tidak layu di hujung mimpi...doakan saya..terima kasih untuk segalanya. Wassalam.

Monday, October 11, 2010

Rakan Lama~menggamit nostalgia

Sepetang bertemu rakan-rakan lama, menggamit nostalgia zaman persekolahan..indah dan mengasyikkan. kalau boleh masa diputarkan kembali, ternyata aku ingin sekali menghirup udara zaman remaja yang telah jauh kutinggalkan.Bersamamu sahabat-sahabatku tak jemu bercerita..serasa cepat masa berlalu..mungkin kita akan bertemu lagi..jika ada ruang dan peluang. gembira bertemu kalian. terima kasih sahabat.

Sunday, September 26, 2010

Indahnya senja dan kenangan itu...










Dulu-dulu, saya suka mengumpul poskad yang bertemakan warna senja. Bermacam-macam jenis pemandangan waktu senja. Masih kusimpan hingga kini. Entah mengapa saya cukup suka dengan warna senja. Indah dan mendamaikan. Alangkah indahnya andai saya dapat menikmati warna senja di tepian pantai waktu ini. Ada orang kata waktu senja itu menyedihkan. Memang benar. Sayu dan sedih melihat warna senja. Meninggalkan siang yang penuh dengan warna-warna ceria. Senja juga menjemput malam yang kian suram. Gelap dan menakutkan. Namun masih ada bulan yang menemaninya, indah dan mengasyikkan. Malam juga ada cahaya dari neon yang bergemerlapan. Namun ianya sekadar sementara. Malam juga menjemput pagi. Ternyata waktu pagi juga memberi ketenangan. Sejuk dan menyegarkan. Sesungguhnya senja, siang, pagi dan malam silih berganti... mewarnai kehidupan kita yang semakin menuju ke satu destinasi....mencari reda Ilahi...hingga ke hujung nyawa...aku masih di sini. Subhanallah!

Saturday, September 18, 2010

Dermaga Saksi Bisu


Pada senja ini
memancar cahaya indah
mewarnai alam
luas terbentang
memukau mata
mendamaikan rasa
menusuk di jiwa.

Kulihat dermaga ini
terlantar sepi
bagai sepohon bertam
ketandusan sang bayu
kering longlai.

Dia masih di situ
mengulit memori silam
menghitung seribu impian
mendakap mimpi-mimpi indah
resah kian dalam.

Dermaga masih menyaksi
dia masih jua di situ
tunduk membisu
tanpa ulas bicara
akur akan segala
pasrah dalam reda-Nya.

Tiba-tiba awan berarak pergi
meninggalkan dermaga ini
sunyi dan sepi
langit kian suram.

Tuesday, September 14, 2010

Kepadamu Kekasih...

Dalam redup pandangan
kulihat ada sinar
tetap menyala di lubuk hati
setulusnya cinta!

Kepadamu kekasih
kusimpan hati ini
walau kaupergi jua
melangkah jauh...

Sunday, September 12, 2010

Salam Aidilfitri


Lebaran hadir jua
bersama gema takbir
bertahmid memuji kebesaranNya
Maaf Zahir Batin.

Tuesday, August 31, 2010

Di Persada Merdeka

Kembali kita ke detik kegemilangan iaitu tarikh bermulanya kemerdekaan tanahair dengan harapan setulus doa moga detik yang menjelang ini akan menjadi lebih baik dari detik-detik yang telah ditinggalkan. Salam Merdeka!

Di persada merdeka ini
anak-anak bangsa berlarian
mengejar arus pemodenan
globalisasi kian mencerlang
gemilang dan terbilang
merentas sempadan maya
menutupi nilai insani
yang kian tumbang
rebah ke bumi.

Friday, August 27, 2010

Bila Hati Ada Rindu


Tetap merindui kenangan itu...kerana rindu itu adalah anugerahNya yang tak mampu terucap...merinduimu sahabat!

Tuesday, August 24, 2010

Kekasihku Ramadan

Kekasihku Ramadan
kau hadir lagi
membawa cinta syahdu
terleka aku
diulit rindu
menghimpun kasih
wangi bersemarak
mengharum di segenap alam.

Wednesday, August 11, 2010

Ramadan Yang Di Rindu

Salam Ramadan...bertemu lagi di bulan yang penuh barakah ini. Moga kita akan beroleh rahmat hingga ke hujungnya. Selamat berpuasa buat semua rakan-rakan seperjuangan.

Kusimpulkan rindu
di Ramadan ini
bernaung di payung rahmat-Mu.

Sunday, August 8, 2010

Di Waktu Yang Sedetik Itu

Hati, mengapa aku resah dan berdebar-debar apabila melihat wajahnya. Ada seraut ketenangan di situ. Tidak mampu kutafsirkan. Lirikan matanya seakan-akan mahu menyapa. Gerak bibirnya bagai mahu menuturkan bicara. Namun hati ini tetap hampa. Apalah yang terdaya. Aku hanya insan yang lemah. Tidak mampu untuk mengejar pelangi yang indah. Walau hadirnya hanya sementara namun tetap menguntum bunga-bunga rasa. Berkembang mekar, indah dan mengasyikkan. Duhai hati...damailah kau di taman keredaanNya dalam tunduk dan patuh. Subhanallah!

Wednesday, August 4, 2010

Mula menulis

Dalam kedinginan malam yang sepi..hanya kedengaran suara-suara unggas bersahut-sahutan, mungkin sedang bertasbih dan berzikir memuji keagungan Maha Pencipta. Dalam pedih menahan rasa mengantuk, kuteruskan juga perjuangan diri untuk memulakan tugas...menulis perenggan demi perenggan dan akhirnya hasilnya memuaskan hati sifu...hmmm berjaya jua akhirnya..Alhamdulillah!...dan akan kucuba untuk meneruskannya..insyaAllah!

Sunday, August 1, 2010

Taman Hati

Kulingkari hati dengan sebuah taman
agar ia mampu menyejukkan rasa
yang sering gundah gulana
kutanam pepohon harapan
agar ia dapat memayungi jiwa
yang tandus dan gersang
kubajai dan kusirami akar kehidupan
dengan bekalan ketabahan dan semangat kental
agar tidak layu dipanah mentari uji.

Taman hati
kupagari dirimu dengan tembok keimanan
agar ia menjadi benteng
menahan arus gelombang kehidupan
kuhiasi dirimu dengan bunga-bunga impian
agar ia berkembang mekar
mengharum kasih setulus hati
cinta abadi.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa, Kedah.

Berita Minggu(1 Ogos 2010)

Saturday, July 31, 2010

Penangan M16


Salam kembali di arena maya. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, otak semakin membeku. Tidak mampu untuk mencatat sebarang kata di taman hati ini. Subhanallah! Hanya kepada-Nya kita mampu berserah. Betapa kerdilnya diri ini...Kesibukan di sekolah amat memenatkan. Tambahan pula pelajar-pelajar akan menjalani peperiksaan tidak lama lagi. Doaku moga mereka akan berjaya. Siapalah kita untuk mengajar diri mereka. Ibu bapa mereka sendiri pun tidak terajar. Kata-kata nasihat dari guru bagai serpihan peluru yang menujah dan hanya melepasi cuping telinga mereka. Tidak sampai menepati sasaran yang dikehendaki. Berbalik kepada soal peluru. Baru-baru ini aku berkesempatan untuk memegang senjata M16 dan melepaskan sepuluh das tembakan menepati sasaran 65 mata.Wah! hebatnya cikgu...(perasan dah) ha..ha..tak sangka pula...dalam keadaan menggigil dan tidak selesa, aku masih boleh lakukan yang terbaik. Demi semangat juang....apapun boleh dilakukan. Namun pengalaman ini amat bermakna buat diriku (walaupun rasa macam nak demam).Ternyata cikgu juga hebat...he..he..(perasan lagi)...dan akan kuteruskan perjuangan ini...dalam mencari reda dan kasih-Nya. Moga kita berjaya sahabat.

Sunday, July 4, 2010

Seteguh Kasih Ayahanda

Pepohon nyiur melambai
menggamit memori usang
lembut angin bertiup
bagai membisik
kedengaran suaramu di mana-mana
gemersik sayup bercerita
menghiburkan hati yang lara.

Ayahandaku tercinta
kausuluh hati yang kelam ini
dengan kata-kata makna
menyiram pepohon hati
yang hampir layu digoda rindu
mengusir noda-noda tercela
yang sering menerjah minda.

Ayahandaku yang tersayang
hutan rimba kaugeledah
penat lelah tiada kauendah
keringat menitis tiada kaupeduli
tekun dan gigih
mencari setitis rezeki
bekalan anak dan isteri.

Ayahanda yang kukasihi
pesanmu menjadi azimat
semangatmu menjadi pendorong
cekalmu mendidik hati
betapa dirimu amat kuhargai
seteguh kasihmu
abadi dalam sanubari.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa,
Kedah.
(Berita Minggu : 04 Julai 2010)

Wednesday, June 23, 2010

Tiba-tiba rindu menggamit

Hampir 3 tahun dia telah meninggalkan kami...namun kenangan bersamanya tetap berlegar diingatan...

Menghidu wangian alam.
di perkampungan sepi
menggoda rindu
menggamit memori.

Ayahandaku,
kenangan bersamamu
tetap segar dalam ingatan.

Seteguh kasihmu
tetap abadi di sanubari.

AL FATIHAH

Sunday, June 20, 2010

Di Pentas Kemanusiaan


Di pentas kemanusiaan
topeng-topeng bergelandangan
mengejar nikmat keduniaan
insan lemah ditindas
dihina dengan kejam
tiada berperikemanusiaan
terkulai dipangkuan
menitis pekat darah
syahid dalam perjuangan.

Di pentas kemanusiaan
seluruh dunia mengecam
mengutuk dengan lantang
laknat engkau si pendurjana!
rakus menggila
membuka mata semua.

Di pentas kemanusiaan
semangat kian berkobar
teruskan perjuangan
tanpa henti-henti
kerana masih ada sinar menanti
petunjuk jalan kedamaian
menuju alam kekal abadi.

Nur Ain Hanis
Berita Minggu: 20 Jun 2010

Monday, June 14, 2010

Sudikah kau...


Sudikah kau sayang
menemaniku
hingga ke akhirnya
walau kita terkurung
di dalam sangkar
yang telah tertulis
untuk kita.

Cuti-cuti setempat..


Selamat menghabiskan sisa-sisa cuti pertengahan tahun 2010. Di kesempatan ini jua saya sempat membawa anak-anak ke sebuah tempat yang pernah dilawati berhampiran dengan tempat tinggal. Sekadar mengisi ruang untuk menghiburkan hati mereka. Moga mereka bahagia. Harapan dan doa sentiasa mengiringi hari...

Monday, May 31, 2010

Saturday, May 29, 2010

Seharum Cinta Mekar Mewangi

Andai dapat kutaburi bungaan di taman ini
akan kupilih kuntuman mawar
merah berseri
mekar mewangi.

Andai dapat kupilih idaman hati
akan kugapai dirimu
kekasih hati.

Seharum cinta
setulus rasa
kasih abadi.

Thursday, May 27, 2010

Kekasih..!

Salam kembali dan selamat berjuang untuk terus menulis. Andaikata dapat kujadikan penulisan ini kekasih, akan kucintainya sepenuh hati. Kekasihku...tunggu ya..andai ada masa...akan kutulis kisah cinta kita..! ;)

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru







Selamat Hari Guru..! Selamat Hari Guru..! Selamat Hari Guru..!..untukku..jua untuk sahabat-sahabat seperjuanganku....moga kita tetap tabah dan bersemangat dalam menempuh dunia pendidikan yang semakin mencabar ini...moga berjaya dan terus berusaha...!

Sunday, May 9, 2010

Selamat Hari Ibu



Dalam rasa kasih yang tidak terhingga....dukamu menyentuh hati..gembiramu..pengubat rasa...



Saturday, May 8, 2010

Rintihan Kasih Ibu

Anak-anakku
waktu telah lama berlalu
dan kini masa merubah segalanya
tiada lagi gelak tawa menghibur duka
yang tinggal hanya kata-kata yang berbisa
menghiris hati
menikam di jiwa.

Anak-anakku
biarpun apa jua katamu
namun tetap kutempuh segala
setulus kasih
seikhlas rasa
tetap terpahat
hanya untukmu.

Friday, May 7, 2010

Monday, May 3, 2010

Puncak








Seulas bicara
bertaut rasa
menghimpun gunung harapan
martabat tujuan
ke puncak jaya.

Di Landskap Kehidupan

Di landskap maya ini
manusia teraba-raba
mencari sejalur pegangan
membina arca impian
melakar lukisan kehidupan.

Secara tiba-tiba
alunan gelombang tanpa sempadan
muncul bersarat aliran tercela
mewarna minda yang bercabang
mengadun nafsu yang terlarang
membentuk insan
tanpa diundang.

Merata-rata khabar melanda
terjumpa di mana-mana
terbiar tanpa dibela
terlontar bagai sampah terbuang
terhina bagai anjing di jalanan
begitulah hakikat
jika hilang tiang keimanan.

Di landskap kehdupan ini
masih ada ruang keindahan
untuk dijadikan pegangan
berbunga mekar harapan
petunjuk jalan kebahagiaan
menuju alam kekal abadi.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa, Kedah.
(Berita Minggu-2 Mei 2010)

Tuesday, April 20, 2010

Pasrah....




Sejak dua tiga hari ni...saya rasa macam nak demam..entah mengapa...tambahan pula sibuk dengan aktiviti di sekolah...keluar rumah dengan matahari terbit dan pulang ke rumah dengan matahari terbenam...betapa letihnya saya...sibuk sangat ke cikgu ni..?tak sibuk kalau mengajar aja..tapi kerja-kerja lain yang menimbun..hmmm..dugaaan..tak mengapa..saya akan cuba pertahankan diri saya..setakat yang termampu..selagi ada nafas...tetap pasrah dan reda..!...namun dengan melihat gambar-gambar indah ini...terubat jua hati ini....:)..thanks Nabil...

Friday, April 16, 2010

Sabar

Salam penulisan....semakin bersemangat untuk menulis nampaknya...:)..tambahan pula adanya suntikan dorongan dari sahabat-sahabat yang dekat di hati. Alhamdulillah!..Entah mengapa, tengahari tadi serasa hilang kesabaran dengan karenah pelajar-pelajar di kelasku. Semangat untuk mengajar bagai terasa terbang di awangan. bertubi-tubi Akmal membalas segala percakapan dan nasihatku. Rasa macam nak tampar aja...Hmmm sabar-sabar...sememangnya dihati ini penuh dengan kesabaran..namun terkadang akan sampai masa...mungkin tak mampu kupertahankan..Eh..sabar...sabar...hatiku memujuk lagi. Seorang lagi..Shazwan..buat-buat pekak pula. semasa disuruh membuat latihan...jadi objektif pengajaranku pada hari ini tidak tercapai buat dua orang pelajar ini...namun masih ada juga pengikut-pengikutnya..Subhanallah...! mungkin ada kesilapan dan kelemahanku..akan kuperbaiki berbekalkan sisa-sisa semangat yang masih ada ini...moga mereka akan berubah...InsyaAllah.

Thursday, April 8, 2010

melukis*membaca*menulis


Melukis merupakan hobi saya pada suatu ketika...sukar untuk digambarkan perasaan apabila mula melukis..kepuasan berganda apabila melihat hasil...jua ketenangan yang tak terucap...hobi bertambah kepada membaca...cerpen, novel dan minat kian bercambah apabila hasilan penulisan pertama tersiar....sajak 'Seharum Cempaka Buat Ayahanda'..ditulis atas rasa kasih tak ternilai harganya...dan kini akan terus mencuba kerana...tulisan mencetus makna..menyejuk rasa...bagi yang tahu menilainya...Subhanallah!...

Monday, March 29, 2010

Suntikan semangat....

Proses menulis memerlukan pengorbanan masa dan tenaga..jua kreativiti berbekalkan semangat juang yang tinggi...Saya begitu teruja membaca buku 'Proses Penciptaan Menulis Untuk Remaja' yang diselenggarakan oleh Allahyarham Dr. Othman Puteh terbitan DBP (1991) yang memaparkan pengalaman beberapa orang penulis terkenal di dalam proses penciptaan sesebuah hasil penulisan. Ternyata kebanyakan penulis memulakan proses penulisan berdasarkan pengalaman sendiri untuk dipaparkan kepada khalayak berbekalkan dorongan dan semangat yang tinggi. Justeru, buku ini telah menyuntik semangat saya untuk menulis. Jom teruskan perjuangan sahabat-sahabatku...!

Sunday, March 28, 2010

Di Sini Kasihku Tertumpah










Sehijau bumi luas terbentang
Sebiru langit saujana pandangan
Seindah gunung-ganang tersusun berjajaran
Sejernih air sungai yang mengalir
Di sini kasihku tertumpah.

Semesra ombak menghempas pantai
Selebat turunnya hujan
Sepanas teriknya mentari
Sesegar tumbuhan menghijau
Seharum bunga mekar berkembang
Di sini kasihku tertumpah.

Sehebat pejuang-pejuang bangsa
Semarak perjuangan mempertahankan negara
Segumpal semangat tetap membara
Seteguh wawasan menggapai cita
Satu Malaysia menuju jaya
Nur Ain Hanis
Berita Minggu 28 Mac 2010

Saturday, March 27, 2010

Dalam rasa itu..

Sahabat..
Setulus rasa...
moga bahagia tetap bertamu...
dalam kasih dan reda-Nya..
Subhanallah..!

Saturday, March 20, 2010

Mengutip Memori....



DI PONDOK USANG ITU

Aku melabuhkan diri
di pondok usang itu
merenung seribu kisah silam
mesra segar dalam ingatan
sarat di lubuk kenangan.

Di situ aku melihat tawa bonda
tanpa jemu melayan kerenahku
yang nakal dan manja
tubuh bonda kupaut mesra
wajah bonda memancar ceria.

Terdengar-dengar suara ayahanda
lembut berbisik dalam tegas mendidik
menitipkan butir bicara penuh pedoman
mengajariku tunjuk tauladan.

Dalam sarat mengimbau kenangan
tanpa sedar air mata kutitiskan
merenung sunyi yang bertandang
memenuhi ruang pondok usang
yang kini sepi ditinggalkan.

Kukutip kembali memori silam
di pondok usang bisu dingin
kuhimpunkan segala kenangan
kusulam rindu dan kasih di jiwa.

Di pondok usang itu
kutitipkan setulus doa
buat ayahanda dan bonda
di situ kenangan mengelus rasa

memahat kasih untukmu berdua

Berita Harian (15 November 2008)

Thursday, March 18, 2010

Menghayati sebuah perjuangan

Dalam kesibukan ini..sempat juga singgah di TV 1 malam ini...menitis jua air mata melihat anak-anak cilik yang berbakat membuat persembahan mereka dalam Program Akhir Realiti TV Adik-adikku....menghayati perjuangan Rasulullullah sebagai Murabbi...Tahniah buat mereka...! moga perjuangan ini akan berterusan bagi mendidik anak bangsa supaya tidak terus lalai dan leka...Subhanallah!

Tuesday, March 9, 2010

Perjuangan Cinta Rasulullah

Di saat purnama mengambang
Di kala gemerlap bintang bertaburan
Seluruh penghuni alam bertahmid memuji kebesaranNya
Dalam menyambut kelahiran Rasul junjungan.

Rasul kekasih Allah
Kelahiranmu membawa cahaya
Menyinari segala kegelapan
Memberi petunjuk arah kehidupan
Menuju ke jalan kebahagiaan.

Rasul junjungan kita
Insan berakhlak mulia
Menjadi contoh terpuji
Menyampaikan amanah Allah
Membimbing dan mendidik umat
Mengasihi dan mencintaiNya.

Rasul Pembina ukhuwah
Khalifah manusia sejagat
Menyatukan seluruh manusia
Menegak Islam tercinta
Pembakar obor semangat
Dalam perjuangan mencari redaNya.

Kehadiranmu ditunggu-tunggu
Kepulanganmu ditangisi
Amanatmu menjadi bekal
Cintailah Allah melebihi segalanya
Kerana cinta itu akan kekal abadi.

SALAM MAULIDUR RASUL

NUR AIN HANIS
Seri Rawa, Kedah.
(Berita Minggu: 7 Mac 2010)

Monday, February 22, 2010

Dalam Perjuangan ini...

Perjuangan masih berterusan...
dalam mencari cinta dan kasihNYA....
Subhanallah!

Sunday, February 7, 2010

Semarak Hati.....


Bersama TPM pada 6 Februari 2010 di Majlis Perjumpaan Bersama Guru-guru Daerah bertempat di Seri Rawa....

~Semesra senyuman..bersemarak di hati....

Di Kanvas Alam...














(....dalam perjalanan..menuju Seri Rawa)
Maha Suci Tuhan yang menciptakan alam yang indah....menghayati keindahannya akan dapat menenangkan jiwa...Subhanallah!..
...andainya dapat kulukiskan di kanvas itu...

Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti-nya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi
orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tiada-lah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (QS. Ali 'Imran, 3: 191)

Sunday, January 31, 2010

Puisi Dari Hati...

Sebaris ayat
mengungkap sejuta makna
mengalun bicara tanpa suara
menusuk di jiwa....

Teruskan menulis...
~salam puisi~

Monday, January 18, 2010

Laskar Cinta-Zharif


Membaca menambahkan ilmu....semakin hari saya jatuh cinta pada novel-novel ini...secebis renungan yang saya petik daripada novel Laskar Cinta...yang mengisahkan seorang laskar yang dilatih dengan segala ilmu pertahanan untuk berjuang demi mempertahankan kerajaan cinta....

"Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan."


"Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat."~Hamka


~aku ingin mencintaimu secara sederhana....bagai bayu bertiup lembut...membelai bertam yang sering ketandusan...kasih dan cinta....~

Monday, January 11, 2010

Selamat mendidik...cikgu...!

Bertemu kembali di arena maya...bermulanya sessi persekolahan yang agak sibuk...semuanya perlu disiapkan......menjadi guru tingkatan kelas peperiksaan jua kelas yang tercorot...menyebabkan dada menjadi sesak...sarat dengan persoalan..bagaimana harus menjadi pendidik yang mampu untuk mendidik pelajar-pelajar yang tidak berminat untuk belajar...?..ternyata sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan harus terpaksa di kejar...dan yang tidak berminat akan jadi ketinggalan....mengapa harus jadi begitu...? tepuk dada..tanyalah selera....