Friday, November 5, 2010

Aku Cinta Dia~Sharifah Abu Salem

~Tak terusir lagi rasa rindu ini bila kau iringi tiap detik helaan nafasku~

Melihat kepada tajuk novel ini terlintas di fikiran bahawa novel ini adalah seperti novel-novel percintaan yang lain. Namun setelah dibaca, ternyata telahanku ini tersasar. Novel ini bukan seperti novel cinta biasa, namun penuh dengan hikmah dan pengajaran yang membawa ke arah mencintai-Nya melebihi dari segalanya. Sedetik terfikir, terkadang kita melupakanNya apabila kita tenggelam di lautan cinta. Justeru, moga kita sentiasa beringat dan bermuhasabah diri.. Siapakah kita? seorang insan yang dijadikanNya untuk menunaikan tanggungjawab dalam mencari kasih dan redaNya..Subhanallah!

Aku Cinta Dia~memaparkan sebuah penempatan yang diberi nama Wadi Saffiyah yang diterajui oleh Suami Isteri iaitu Haji Mukri dan Ustazah Saffiyah yang memberi bimbingan dan pemulihan akhlak kepada anak-anak remaja yang tersesat jalan dan ingin kembali ke pangkal jalan. Suasana yang digambarkan oleh penulis amat mengujakan. Seakan pembaca berada di Wadi tersebut. Plotnya tersusun kemas. Gaya bahasa yang indah menarik hati saya untuk terus membacanya. cerita dimulakan dengan monolog dalaman ustaz Iqbal yang menghayati perjuangan ibubapanya yang menerajui wadi tersebut. beliau merupakan putera sulung yang sanggup berkorban membantu kedua ibubapanya memulihkan akhlak penghuni-penghuni wadi tersebut. Seorang pemuda yang berketrampilan,perwatakan menarik, mencintaiNya dari segalanya dan disukai oleh gadis-gadis penghuni wadi tersebut. Pelbagai ragam gadis-gadis penghuni Wadi itu yang berjaya mencuit hati. Antara Ustazah Umairah (anak angkat Haji Mukri dan Ustazah Saffiyah) yang mencintai Ustaz Iqbal dalam diam. Seterusnya gadis kota yang bernama Shira yang jua menyimpan perasaan kepada Iqbal. Sifatnya yang irihati selalu menyusahkan rakan-rakannya di penempatan tersebut. Kehadiran Nur Dania yang sedang mengandung anak luar nikah ke penempatan itu telah membuka pelbagai kisah suka dan duka. Iqbal telah jatuh hati pada Dania. Ini menimbulkan kebencian Shira serta membuatkan Ustazah Umairah cemburu. Cerita ini banyak menimbulkan pelbagai persoalan. Kisah fitnah yang ditimbulkan oleh Shira kepada Dania dan Ustaz Iqbal,ustazah Umairah yang ingin dijodohkan dengan Iqbal serta kehadiran adik Iqbal iaitu Qabil yang tanpa diketahui keluarganya telah merosakkan Nur Dania. Justeru Dania amat tertekan kerana hatinya telah terpaut kepada Iqbal. Penulis bijak mencari jalan penyudah cerita di mana, Qabil telah meninggal dalam kemalangan dan Nur Dania telah selamat melahirkan anaknya. Iqbal yang mengetahui kisah Dania dan Qabil telah berusaha untuk menawan hati Nur Dania Semula. Penyudah ceritanya, Walaupun terluka, Dania masih memberi harapan kepada Iqbal.

Saya tertarik kepada pengajaran yang ingin ditonjolkan oleh penulis melalui petikan surat Iqbal kepada Nur Dania iaitu:

Saya bersyukur kerana diberikan perasaan ini. Tetapi percayalah, perasaan ini tidak akan sampai melalaikan saya daripada mengingat dan lebih mencintai-Nya.

Ada syarat yang harus saya letakkan andai Nur Dania ingin mencintai saya. Nur Dania harus lebih dulu menyerahkan cinta pada Yang Maha Kuasa, kemudian Rasul-Nya, kemudian ibu dan bapa Nur Dania, dan jika tersisa...berikanlah cinta itu pada saya.


Lembut sekali pengolahan ayatnya..ternyata memberi kesan kepada saya..moga kita jua mendapat pengajarannya.InsyaAllah!... Saya kembali bersemangat untuk menulis...dalam lebat hujan yang kian mencurah...

No comments:

Post a Comment