Tuesday, October 14, 2014

Kata Tentang Cinta


Katamu indah
menyulam aksara cinta
indah tersusun
antara stanza demi stanza
berpaut rindu
pada sekuntum puisi
terselit debar
di celah getar rasa
ada bias cinta
di matamu kekasih!

Nur Ain Hanis
Seri Rawa,
Kedah.
(New Sabah Times, 5 Oktober 2014)

Berdiri Di Pintu Ukhuwah


Berdiri di pintu ukhuwah 
mengusir penghianat 
menghapus petualang
satu persatu gugur
di medan juang
berkecai kesumat.

Terbangun ukhuwah 
dari lena alpa
menyambut salam cinta 
kenangan berjabat mesra 
memaut bahu mahabbah 
akrab ke hujung nyawa.


Pintu ukhuwah ini 
luas terbuka
menyatu hasrat
berpadu jiwa
teguh diri
tegak kalimah-Nya.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa, Kedah
(HARAKAH bil 1976 5-7 September 2014)


Monday, September 22, 2014

Aku Dan Kenangan




Di Mata Kenangan

Matamu kilau embun yang jatuh di lereng Kinabalu
mentari memancar cinta bangunkan kenangan
dingin kabus mendakap rindu
menyentuh hangat fatamorgana
kau ada sentiasa
bersama sentuhan nafasku nafasmu
senja menyatukan kita
sehingga malam tiba
mimpi kembali bertamu.

Nur Ain Hanis
Kota Kinabalu
14 September 2014




Thursday, August 28, 2014

PERTEMUAN

Kita kembali melakar rasa
dalam degup jantung
ada rindu yang terlukis
di kanvas hati.



Saturday, July 19, 2014

CAHAYA RAMADAN



Berseri alam nan indah
menyambut  cahaya Ramadan
segunung taqwa kukuh terpasak
di bumi keinsafan
melaut syukur menadah
usia masih bersisa
kembara muhasabah
berpaksi dalam diri.

Ramadanku nan bercahaya
menyeri kalbu resah
menyinar jiwa gundah
bersuara hati syahdu
membaca kalam-Mu
mata kian membasah
sendu bertamu.

Salam Ramadan
kusambut mesra
ketika iman dan amal berpaut erat
bersimpuh mencari reda-Nya.

Nur Ain Hanis,
Seri Rawa, Kedah.
(Mingguan Warta Perdana~20 Julai 2014)

Sunday, May 11, 2014

SELAMAT HARI IBU



POHON KEINSAFAN

Kulewati jalan usang
pernah menyimpan nostalgia
antara pepohon rindu
bunga-bunga berkembang
dedaun berguguran
masa  silih berganti
pondok tua masih ada di situ
hampir rebah menyembah bumi
dalam sepi dan sunyi.

Mengapa aku tidak mampu
menghulurkan bahagia
biarpun seketika
agar kaudakap tulus cinta
hingga akhir nafasmu
dan, betapa air mata ini
adalah keinsafan masa lalu
sering menghambat dukaku
tersadai di perdu kenangan.

Sepohon cempaka
kutanam di pusaramu
mewangi doa untuk kaucium
selamanya, bonda.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa, Kedah


 (Berita Harian, Ahad~11 MEI 2014)

Saturday, April 26, 2014

Rumah Cinta


Rumah Cinta

Kita bina rumah cinta
bertiangkan iman
beratapkan taqwa
berdindingkan amal
berlantaikan kejujuran
berpijak di bumi nyata.

Rumah cinta ini
taman kedamaian
ada haruman kasih
berbunga kelopak rindu
tetap segar
menyeri laman jiwa.

Kekasih
mari kita jaga rumah cinta
agar teguh selamanya.

Nur Ain Hanis
3 APRIL 2014
KODIANG, KEDAH

(Warta Perdana~4 MEI 2014)

Monday, April 21, 2014

Dalam Mengenangmu
(Belangsukawa Penyair Jamaludin D)

















Lantun suaramu bergema
memecah keheningan alam
tentang kemanusiaan
flora dan fauna
indah melakar cinta
mengubat  hati gundah
menyejuk jiwa resah
bait-bait romantis aksara
berpayung rindu
menyatu ilusi dalam mimpi.

Gerimis senja dalam getar dingin
mengenangmu penyairku
tanpa jemu meraut tinta
berbicara mulus
mengabdi cinta pada-Nya

Pada detik ini
terasa kehilangan
sebutir permata
yang tak pernah pudar
biarpun ditelan zaman

Al-Fatihah
NUR AIN HANIS
Seri Rawa, Kedah.
7 APRIL 2014.

 (Mingguan Malaysia, 20 APRIL 2014)

Monday, March 31, 2014

Rumah Seri Kenangan


Rumah Seri Kenangan
(Antara Cinta dan Air Mata)

Mata berkaca
menyambut salam ukhuwah
berjabat kemesraan
pada hati yang mengerti
melimpah simpati
insan yang kehilangan
sanak saudara
tiada yang peduli
terbiar sendiri.

Suram kehidupan
berteman tembok sepi
terhimpit lesu
mengharap secebis kasih
kepada yang sudi
hulurkan tali pegangan
untuk mengikat rindu
moga tidak putus
selamanya.

Rumah Seri Kenangan
menyimpan nostalgia
antara cinta dan air mata
menghimpun tenang
dalam perjalanan
menyahut panggilan-Nya.

Nur Ain Hanis
Rumah Seri Kenangan
Bedong, Kedah.
29 MAC 2014



Tuesday, March 25, 2014

NOKTAH YANG TERTULIS


Deru ombak sayu menerpa
membawa khabar nestapa
berakhirnya sebuah pencarian
MH370 bersemadi di lautan.

Pilu mengiringi sebuah pemergian
kubur tak bernisan
sanak- saudara merintih hiba
bersama sendu tak terucap
tragis sebuah kehilangan.

Noktah yang tertulis
di lembar duka
adalah penamat
sebuah  misteri
bersarang di lubuk hati
ketentuan-Nya ada di mana-mana.

Sekudus doa dihulur
moga tenang dan damai di sana.

Al-Fatihah dan Salam Takziah
Nur Ain Hanis
Jitra, Kedah
25 Mac 2014





Tuesday, March 11, 2014


Melakar Wajah Cinta

Kanvas itu kembali kulakar
wajah ceria cinta
bermata bening ketulusan
bibirnya merekah kejujuran
tersenyum takwa
menyeri pandangan.

Seindah wajah cinta
terlukis di hati
nur kasih-Nya
bersemarak di jiwa.

Nur Ain Hanis
Jitra, Kedah
6 Mac 2013






Wednesday, February 19, 2014

Menghitung Pertemuan

Menghitung Pertemuan

Laut China Selatan bukan pemisah
menyulam manis ukhuwah
bibit-bibit rindu
meniti jajaran waktu
menghitung hari
antara pertemuan
aku pasrah.

Kau bagai di awangan
menitip bahagia
moga tercapai tangan
menyambutmu
cinta.


Thursday, January 16, 2014

Cinta Kau Dan Aku

Cinta Kau dan Aku

Di pantai rasa
memutih ombak 
mengalun irama syahdu
lagu cinta
antara kau dan aku
indah berpadu.

Di laman hati
kita berbicara 
tanpa suara
menyusun baris-baris aksara
puisi rindu
menusuk kalbu.

Di maya ini
kita bertemu
menyatu hasrat
setulus jiwa
mendakap ilusi
jadi realiti.

Nur Ain Hanis

Jitra, Kedah

Friday, January 3, 2014

Salam Tahun Baru 2014

Sudah 3 hari menjelang tahun baru 2014. Sunyi sepi rumah ketiadaan Muhammad Hanif yang suka mengusik adiknya Nur Aqilah. Masa begitu pantas berlari dan kita dihujani dengan kesibukan yang berganda namun tetap mahu meneruskan minat dalam sisa masa yang tertinggal ini..Moga tahun 2014 menjanjikan setulus bahagia biarpun bahagia ada dimana-mana. Marilah kita menggapai keindahannya. Projek tahun ini, menyiapkan lukisan abstrak yang amatku teruja untuk mempelajarinya. Alhamdulillah mendapat limpahan terindah daripada www.esastera2u.com. Pencetus semangat untuk aku terus melangkah dalam dunia penulisan. Moga kita akan sama-sama menggapai kejayaan itu sahabatku. Terima kasih untuk segalanya. Anda jua pasti boleh!

www.esastera2u.com