Sunday, December 20, 2009

Melakar Titian Hijrah

Semusim telah berlalu
meninggalkan seribu kenangan
menempuh onak dan ranjau
bahagia semanis madu
derita sepahit hempedu
segalanya tetap ditempuhi
dalam pasrah dan reda.

Dan kini tiba ke penghujungnya
menyusun setulus doa
memohon keampunan-Nya
moga dapat mendidik hati
dalam mencari kasih dan cinta-Nya.

Hijrah kembali bertamu
melakar titian baru
menyusun warna-warna pelangi
bertebaran di segenap alam
mewarnai taman kehidupan
indah berseri
berbunga harum mewangi.

Teruskan perjuangan!
dalam meniti titian Hijrah ini.
Salam Maal Hijrah 1431.

NUR AIN HANIS
Seri Rawa, Kedah
Berita Minggu
20 Disember 2009

Monday, December 14, 2009

Sejernih wajah lukisan




Sejernih wajah lukisan
meraut sebuah ketenangan
damai menyejukkan
sebuah rasa
yang sering gundah...
Tuhan...berikan aku kekuatan dan ketabahan....
dalam melakar titian Hijrah ini...

Tuesday, December 1, 2009

Dalam mencari bahagia....


Salam kudus di arena maya buat sahabat-sahabat jua adik-adik teman seperjuangan...


Mengharungi cuti dalam suasana yang sibuk..memikul amanah yang dipertanggungjawabkan...mengawas peperiksaan SPM di MRSM....tersentuh hati apabila pelajar-pelajar menghulurkan tangan selepas peperiksaan...menghormati guru menjadi amalan...moga mereka lulus dengan cemerlang..."Cikgu tak kenal saya" seorang pelajar menegurku...eh..siapa ya..."saya pelajar cikgu semasa di kelas prasekolah" Oh ya!..Intan Syafika...dah sepuluh tahun kutinggalkan daerah perbukitan itu...rasanya masih baru namun kenyataannya tetap diharungi..usia menuju senja...ternyata terkadang diri seakan alpa...dalam mencari erti bahagia..ternyata bahagia itu ada dihati....membahagiakan diri dan orang lain...lakukan apa-apa untuk membahagiakan hati itu....Subhanallah!

Tuesday, November 24, 2009

Email dari sahabat- Rahsia solat di awal waktu

Renungan bersama..... .....
Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak ?
Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur d elta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .


~moga kita mendapat petunjuk dalam mencari reda-NYA.

Friday, November 20, 2009

Selamat Bercuti....


Musim cuti panjang hadir lagi..bertambah lagi cabaran dalam melayan karenah anak-anak di musim cuti ini...moga ketabahan sentiasa hadir menemani....insyaAllah..!

Selamat bercuti buat semua....moga bertemu bahagia...

Sunday, November 15, 2009

Tatkala Musim Beredar

Musim kian beredar
Mewajahkan seribu kenangan
Meninggalkan sisa-sisa kehidupan
Yang pahit kian mencengkam
Bencana kian bertimpa
Menusuk menerjah minda
Betapa kita kian alpa
Bumi kini merangkak tua!

Yang pasti,
Kita adalah pengembara
Yang akan berjalan
Dalam kenyataan.
Mencari satu titik
Penyelesaian.

Justeru, berwaspada!
Kerana musim kian beredar
Menuju pelabuhan abadi.


Berita Minggu
15 Nov 2009
~musim-musim kenangan jua mewarnakan kehidupan...

Thursday, November 12, 2009

Keikhlasan...

Bertemu lagi di arena maya...dalam kesibukan..ingin jua untuk mencoret...Seringkali kita mengeluh dan tidak puas hati terutama berkaitan dengan pekerjaan kita...namun kita perlu ingat tujuan kita untuk hidup...mencari keredaan Allah...justeru lakukan sesuatu dengan ikhlas dan sematkan niat yang satu itu di dalam hati. ..kita akan merasa bahagia dengan apa yang ditentukan untuk kita...Saya merasa bahagia apabila dipertemukan dengan seseorang...bersahabat.....dengan rasa ikhlas...menyayangi dengan sepenuh hati....hasilnya..kita akan disayangi...walau di mana jua kita berada....moga kita dapat membina keikhlasan berganda.....!

Salam keikhlasan..

Monday, November 9, 2009

Senyuman warga Seri Rawa


Semanis senyuman...seredup pandangan....menghimpun pelbagai cerita...warga Seri Rawa 2009 dalam kenangan...

........penghujung cuti yang sibuk..

Friday, October 30, 2009

Karnival Koku yang sibuk..


Kembali mencoret di sini..sibuk membaca..tak sempat menulis..bagaimana nak menanam minat menulis ya...anggap ia macam diari..boleh kot..kalau dahulu rajin tulis diari..setiap hari..tapi sekarang....hmm sibuk memanjang...Karnival berlalu dengan penuh meriah...agak sibuk...gerai jualan yang melebihi pelanggan..menyebabkan ramai peniaga cilik yang bankrap..kesiannya..terpaksa menjaja di dalam bilik guru...termasuk aku yang jadi mangsa untuk jadi pembeli borong..he..he..he kesian la pula kat depa...dok jaja nasi lemak 3 bungkus RM 2.00..pada pukul 12 tgh..hari tu aku makan tengahari dengan 2 bungkus nasi lemak dan satu lagi belanja sharif yang baru nak ke Mekah tu..:)

Tuesday, October 20, 2009

Di kebun ilmu...Bengkel Penulisan PTS




Alhamdulillah, saya selamat sampai jua ke destinasi yang dituju. Dalam perjalanan yang panjang di temani bonda dan si comel tersayang. Betapa ilmu yang disampaikan amat bermanfaat. Saya amat teruja melihat persembahan Puan Ainon. Bersemangat dan berkeyakinan. Syabas dan terima kasih Puan Ainon..saya pulang dengan semangat yang makin menyala..!

Sunday, October 11, 2009

KU INGIN BERTEDUH DENGANMU




Maaf sahabat..izinku papar hasil nukilanmu di sini..buat pembakar semangat...teruskan menulis...!

Kuingin berteduh denganmu
di bawah teduhan iman
bersama mekar zaman
kita jalinkan mesra ikatan
dengan hati bersih
mereda segala rintih.

Di bawah teduhan itu
kita segarkan semerbak kasih
bertaut pada Yang Maha Kasih
dengan putih kata nan mengalir redha
dan kalimah fatanah menggema jiwa
mematang tindak
menggetar rasa syahdu rindu
kepada pemberi segala syahdu.

Kunantikan saatnya berteduh bersamamu
bersyurga jiwa di taman bahagia.

Friday, October 9, 2009

Bertuahnya...!

Kedengaran telefon bimbitku berbunyi. Tertera perkataan 'dirahsiakan'. Eh! siapa pula yang menelefon ni. hati kecilku tertanya-tanya."Assalamualaikum kakak. Saya dari Celcom Kuala Lumpur. kakak merupakan pelanggan kami yang bertuah kerana telah memenangi cabutann nombor bertuah dan memperolehi wang sebanyak RM 7000." Wau! bertuahnya saya. Tetapi kenapa bahasa pertuturan macam indonesia aja. Nombor pula dirahsiakan. Celcom Indonesia ke?..he..he..Aku bertanya dalam hati sambil mendengar pemanggil itu bercerita dengan riangnya. "Bagaimana saya akan memperoleh hadiah itu" tanyaku seperti orang bodoh..Hmm dalam hati ' mesti siasat habis-habis ni'.' kakak ada akaun Maybank ya. Pergi ke cawangan Maybank terdekat dan tunggu arahan saya" katanya lagi memberi arahan. Eh! memandai betul la mat indon ni..macam le aku tak tahu taktik dia..hmm..aku bertanya lagi "Awak ni orang indonesia ke? lama dah bekerja kat Celcom" "Eh ! kakak ni banyak bertanya pula. Nama saya Abdul Rahman. dah lama menetap di sini." Hmm marah pula dia ni. "Tak mengapa, nanti saya akan cuba hubungi bank terdekat jua pejabat Celcom di Kuala Lumpur" tambahku lagi. Dengan suara keras dia membentak " Huh! kakak ni banyak cakap la. Tak payah la" dia terus meletakkan telefon. Hmmm macam-macam hal..ini tentu kes nak menipu orang. Selalu dengar cerita dari orang, tapi hari ini terkena diri sendiri. Nasib baik tak tertawan oleh si Abdul Rahman itu..;)

Wednesday, September 30, 2009

Meriahnya Seri Rawa




Hari ini, Seri Rawa mengadakan sambutan hari raya. Pelbagai juadah disediakan. Cikgu-cikgu begitu sibuk menyediakan pelbagai juadah seperti lemang, dodol, ketupat, rendang, laksa dan sebagainya. Pelajar-pelajar begitu gembira...almaklum la makan free dan cuti belajar pula...hmmm...Jom la makan..:D...

Monday, September 28, 2009

Seharum cempaka..semerbak cinta..!

Entah mengapa..menyusuri jalan kenangan itu, air mata ini menitis lagi..sebak..teringat dia yang telah pergi..musim-musim kenangan kembali menerjah minda...seawal pagi..menemaninya menikmati roti canai..jua tersenyum lebar menerima pemberiannya...sehelai baju bercorak kulit ular..he..he..komplen pula...rajin pula dia membelikanku baju jua untuk ibu..hasil pendapatan jualannya...jua teringat...dia terjatuh tatkala membawa muatan buah-buahan itu....air mata ini...menitis lagi....Al-Fatihah..

Seharum Cempaka Buat Ayahanda...
Semerbak cinta yang segar mewangi...
di Taman Hati....

SEHARUM CEMPAKA BUAT AYAHANDA

Pohon cempaka
Ditanam di tanah basah itu
Tanah pusara
Ayahanda tercinta

Pohon cempaka
Tumbuh subur
Segar disiram
Kalimah suci
Tanda ingatan
Buat ayahanda

Pohon cempaka
Mula berbunga
Berkembang mekar
Harum semerbak
Mewangi
Lambang kasih
Cinta abadi

Seharum cempaka
Buat ayahanda
Kasihmu tetap di hati
Akan ku siram
Pohon cempaka itu
Setiap hari.
Moga tetap subur di hati.
Tenang bersemadi selamanya.

AL-FATIHAH

Berita Minggu (15 Jun 2008)

Thursday, September 24, 2009

Catatan Syawal


Syawal yang menjelang meninggalkan secebis kenangan..yang pahit tetap kusimpan dihati....dalam pasrah dan reda...ternyata diri ini sentiasa diuji..moga diri ini tetap tabah..!..dan yang manis akan kukenang hingga ke Syawal tahun hadapan..jika dipanjangkan usia..insyaAllah..! Apapun jua kenangan bersama keluarga amat manis...seperti kuih raya..mmmm sedapnya....;D

Sunday, September 20, 2009

Salam Aidil Fitri

Salam Aidil Fitri buat semua . Maaf zahir batin. Moga bergembira dan berbahagia. Jangan makan banyak sangat ya...:)

Tuesday, September 15, 2009

Ramadan Kali Ini

Ramadan kali ini
Mengundang sendu di dada
Betapa dosa-dosa semalam
Menerjah menikam jiwa
Pedih dan perit luka terasa

Ramadan kali ini
Mengharap mentari bersinar
Menyuluh kegelapan yang melanda
Mengungkai belenggu yang membelit
Bersama sendu yang tak terucap
Dalam sujud, tunduk dan patuh.


Ramadan kali ini
Membisik kata rindu
Semesra kenangan
Sehening kedamaian
Mencari erti sebuah kehidupan
Dalam reda dan kasih-NYA.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa, Kedah.
Berita Minggu
(20 September 2009)

Sunday, August 30, 2009

Seminggu dalam cuti..

Salam persekolahan kembali...seminggu bercuti penuh dengan pelbagai kisah..Sibuk dengan mengawas peperiksaan PTK dan jua sibuk dengan anak-anak yang demam silih berganti..betapa sibuknya kita hinggakan tidak menyedari Ramadan telah 7 hari meninggalkan kita dan bakinya menanti untuk sama-sama menambah amalan di bulan yang penuh barakah ini..InsyaAllah..!

Friday, August 21, 2009

Ramadan dan senja hadir lagi....


Salam Ramadan buat semua insan yang beragama Islam. Moga Ramadan kali ini menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan..insyaAllah.!...dan senja pun berlabuh menggamit malam.....pasrah dan reda..Alhamdulillah!
Suasana senja di pinggir sawah...dalam perjalanan pulang dari sekolah...

Friday, August 14, 2009

Lambaian Kasih Ramadan

Segala puji bagi Allah yang menciptakan alam yang indah. Salam kasih buat semua penghuni alam di maya ini. Moga dirahmati-NYA dalam setiap perjuangan yang tiada henti. Lambaian Ramadan menggamit rasa. Terlalu kerdil kita disisi-NYA. Dari-NYA kita datang, kepada-NYA jua kita akan dikembalikan. Justeru, moga Ramadan kali ini akan membawa sinar menyuluh hati untuk mencari keredaan-NYA. Kasihmu Ramadan...amat kunantikan...

Friday, August 7, 2009

Cerita semalam


Terlalu asyik membaca tanpa menyedari masa berlalu begitu pantas. Sampai awal juga ke sekolah. Eh! dah hilang budak-budak ni. Cikgu terlewat sikit aja. Dengan pantas ku menyusuri blok bilik pendidikan seni. Semalam dah telefon Cikgu Rosli. Kelihatan tiga orang guru pelatih sedang mencanting batik. Teringat kenangan semasa aku di Khadani Sdn Bhd dulu...amat berminat untuk belajar mencanting, namun tak kesampaian..terpaksa mengukur kain di bilik setor...apa nak buat.."Depa ni cuti..buat tugasan di sini" Terang Cikgu Rosli..Bagus juga budak-budak ni, masih berhubung dengan bekas guru mereka. Terpandang lukisan cat minyak yang baru digantung oleh pelajar-pelajar Tingkatan 6. "Tahu ke maksud lukisan ni" tanya Cikgu Rosli dengan ramahnya. Agaknya dia hairan melihat aku begitu berminat membelek lukisan-lukisan yang tergantung di bilik itu. Ternyata bidang ini sudah sebati dengan jiwa. Andai diberi pilihan, aku akan turut berkampung di situ...melakar hati..mencurah rasa..terlalu damainya jiwa apabila melukis... "macam orang kena hukum gantung aja" aku bersuara membuat telahan. Cikgu Rosli tersenyum. " Suasana dan perasaan yang digambarkan oleh pelukis melalui lukisan abstrak terhadap seorang pesalah yang akan dihukum gantung" Jelas Cikgu Rosli lagi. "Pelajar-pelajar ini membuat kajian dahulu sebelum menghasilkan tugasan mereka"Tambahnya lagi.. Kagum juga aku melihat ketekunan mereka melukis menggunakan cat minyak. Teringat pula pertama kali menggunakan cat minyak di kanvas..! semasa mengikuti kursus di Balai Seni Lukis, Alor Setar. Lukisannya dah hilang di telan zaman. Dalam asyik melihat...cat pelaka yang kucari tak jumpa..tak jadi melukis lak hari itu..sedangkan....begitu merindui....

Saturday, August 1, 2009

Balik Kampung




Setiap hari kususuri jalan ini dan minggu ini kujejaki jua kampung halaman yang sentiasa ku rindui..terasa nyamannya suasana...melimpah ruah hasil peninggalan ayahandaku tercinta...Alhamdulillah!

Monday, July 27, 2009

HAC yang meriah











Sambutan yang agak meriah tahun ini. Bersama-sama berganding bahu menjayakannya. Walau ada jua kesilapan, namun berusaha untuk memperbaikinya. Tahniah warga Seri Rawa...!

Sunday, July 19, 2009

Bertemu dalam sarat rindu

Letih betul kulihat abang sulungku yang baru sampai pagi tadi bersama isterinya. 12 jam perjalanan menaiki keretapi begitu memenatkan berbanding jika menaiki bas yang hanya memakan masa lima jam sahaja. Namun hajat untuk bertemu bonda, tidak mengenal penat lelah. Bonda yang sering dirindu. Bertemu kami sekeluarga menikmati hidangan tengahari ditemani bayu segar berpuput perlahan. Ternyata masakan bonda tetap enak untuk dirasai. Abang tengahku yang asyik mengusik menjadikan suasana menjadi ceria. Seceria wajah bonda yang terlalu kami rindu...dan sentiasa dirindui....Alhamdulillah!

Thursday, July 16, 2009

Selagi Ada Rindu


Bila ku dengar lagu ini semasa dinyanyikan oleh pelajar-pelajar semasa persembahan Hari Guru yang lepas, syahdu terasa...

Selagi Ada Bulan Mentari
Selagi Ada Berkasihani
Selagi Ada Bulan Dan Bintang
Selagi Ada Berkasih Sayang

Selagi Ada Ombak Dan Laut
Selagi Hatiku Terpaut
Selagi Ada Turunnya Hujan
Selagi Ada Rahmat Tuhan

Selagi Ada Langit Dan Bumi
Selagi Cintaku Bersemi


co
Selagi Ada Waktu

Selagi Ada Rindu
Biar Beribu Batu
Ingin Aku Bertemu

Oh Kasih (Oh Kasih)
Damailah (Damailah)
Engkau Disana

Ku Berdoa (Ku Berdoa)
Pada Tuhan (Pada Tuhan)
Agar Kau Bahagia

Lagu: Pak Long
Lirik: Pak Long

Sunday, July 12, 2009

BAHASA KITA...

Perjuangan Tiada Henti

Sedetik waktu berlalu
Mengingatkan diri
Pada sebuah perjuangan suci
Menegakkan bahasa ibunda tercinta
Mekar subur mewangi
Di persada dunia.

Kalimah-kalimah lantang terentang
Membangkitkan semangat juang
Daulatkan bahasa!
Bahasa menegakkan bangsa!
Bahasa lambang perpaduan!

Seketika kita dikejutkan
Dengan impian dan gagasan
Bahasa kita tidak lagi sepadan
Jatuh tersungkur
Hanyut dibawa
arus globalisasi tanpa sempadan.

Perjuangan tiada henti
Kita semakin berani
Bersatu melahirkan hasrat
Bahasa perlu dijaga
Demi menjaga maruah bangsa.

Sorakan semangat jatidiri
Melaung-laung di segenap pelosok
Menyambut kemenangan
Sebuah perjuangan
Menegakkan bahasa tercinta.

CINTAI BAHASA KITA

Nurain Hanis
Berita Harian
12 JULAI 2009

Tuesday, July 7, 2009

Hari Ini dan Semalam


Alhamdulillah! kerana masih dikurniakan nafas untuk menghirup udara segar di mukabumi ini. Hari ini merupakan realiti yang harus kutempuh berbanding semalam yang telah kutinggalkan dengan seribu kisah suka dan duka. Ternyata bekalan semangat dan harapan masih terpahat kukuh dihati bagi meneruskan perjalanan yang terbentang luas di hadapan. Bersama-samalah kita berdoa mengharapkan reda dan kasih-NYA dalam mencari sebuah ketentuan..KASIH ABADI....salam kasih sahabatku....

Wednesday, June 10, 2009

Cuti Yang Sibuk..




Selamat menyambung cuti...betapa sibuknya cuti ini..minggu pertama sibuk dengan kelas tambahan..minggu kedua pula sibuk dengan kenduri...justeru tiada masa untuk bercuti sepenuhnya...karenah anak-anak yang begitu menguji..Subhanallah!..betapa diri dikurniakan kesabaran..moga mampu menjadi seorang ibu yang berjaya mendidik..walau terkadang...sering diuji...Alhamdulillah!

Thursday, May 28, 2009

Selamat Bercuti..

Di penghujung penggal pertama persekolahan, segalanya agak sibuk. Peperiksaan pertengahan tahun baru berlalu. Guru-guru sibuk menanda kertas dan yang telah siap sibuk pula mengemaskini rekod kedatangan pelajar. Walaupun dua minggu guru-guru dan pelajar akan bercuti namun cuti itu bukan cuti sepenuhnya. Guru-guru dan pelajar yang terlibat terpaksa datang ke sekolah untuk menghadiri kelas-kelas tusyen yang akan diadakan sepanjang minggu cuti itu. Bukan mudah tugas seorang guru. Segalanya memerlukan pengorbanan. Guru oh guru!

Sunday, May 24, 2009

Di Taman Bonda



Sesekali balik ke teratak bonda, segar dan nyaman udara kuhirup. Pohon-pohon bunga berkembang mekar, mewarnai taman bonda yang indah berseri. Keindahan alam merupakan sumber inspirasi,menyejuk jiwa, menyegar minda, memberikan ketenangan dan kedamaian. Wahai bonda yang kukasih, dikaulah penyejuk jiwa....

Saturday, May 16, 2009

Gambar..











Maha Suci Allah yang menjadikan alam yang indah. Begitu terpegun apabila melihat keindahan alam. terlalu indah. tambahan pula gambar yang diambil oleh bekas pensyarahku ini amat menarik dan cantik...! layari www.jusni.com

Selamat Hari Guru

"Cikgu Paling Cun" " Cikgu Paling Bergaya" " Cikgu Paling Sporting" " Cikgu Paling Lantang"...begitulah antara gelaran-gelaran yang menjadi pilihan pelajar bagi memastikan sambutan Hari Guru meriah dan menyeronokkan. Seronok menjadi guru? tentu guru-guru dapat menjawab. Tiada istilah seronok, tetapi adalah tanggungjawab yang menjadi amanah untuk dipikul oleh setiap insan yang bergelar guru. Tetapi guru juga ada hati dan perasaan. Sesekali perlu merasakan keseronokkan untuk menyambut hari guru. Jasa guru tiada ternilai. Walau tanpa hadiah, hanya ucapan dapat mengembalikan semangat guru untuk terus berjuang. SELAMAT HARI GURU! Selamat meneruskan perjuangan guruku!

Thursday, May 14, 2009

Salam kudus

Setulus doa kukirim
buatmu sahabatku
moga sejahtera sentiasa
dalam tenang dan damai

Salam kudus kuhulurkan
mengiringi warna-warna perjalanan
andai tersilap kata
beribu maaf ku pohonkan

doa dan harapan
moga kebahagiaan milik kita
abadi....
salam kasih penuh kudus setulusnya....

Tuesday, May 12, 2009

Langkah Pertama

Tepat jam 2.00 petang, Hani sampai di stesyen bas Alor Setar. Kelihatan Alia melambai-lambai mesra ditemani ayahnya. Ibunya hanya diam membisu. Masih serba salah untuk melepaskan anak kesayangannya itu. Tempat yang dituju belum pasti dan rakan yang dikenali hanya Alia seorang sahaja. Bas menuju ke Pulau Mutiara telah tiba. Hani bersalam dan memeluk erat ibunya. Sebak rasa dihatinya ditahan takut ibunya menangis pula. "Jaga diri baik-baik ya, jangan tinggalkan solat" Pesan ibunya akan tetap terpahat di hati.
Perjalanan dari Alor Setar menuju ke Pulau Mutiara mengambil masa dua jam. Dalam perjalanan, bas singgah mengambil penumpang di stesyen bas Sungai Petani. Tepat jam 4.00 petang, mereka sampai di stesyen bas Butterworth untuk menaiki feri menuju Pulau Mutiara. Ramai penumpang feri berasak-asak beratur membeli tiket. Hani amat berdebar memikirkan segala kemungkinan yang akan mewarnai kehidupan barunya di Pulau Mutiara ini. Selamat datang Haniku. Pulau Mutiara menantimu dengan warna-warna pelangi yang indah.

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu


Selamat Hari Ibu buat insan-insan yang bergelar ibu dan jua untuk ibu tersayang. Moga dirahmati Allah berpanjangan hingga ke akhir hayat. Jasa ibu tiada ternilai. Hargailah dengan sepenuh hati. Moga kita tidak menyesal pabila dia tiada di sisi nanti. Hanya seorang wanita yang tahu sukarnya menjadi seorang ibu. Ibuku...kaulah ratu hatiku..kenangan bersamamu tetap kusematkan dilubuk hati ini....sayang ibu!

Friday, May 8, 2009

Rindu...

Rindu hadir lagi
saban hari
siang dan malam
tanpa jemu
mengulit rindu
walau terkadang
masih tersedar
hakikat diri...
tidak layak
mendakap rindu itu...

Thursday, April 23, 2009

Terima kasih sahabat..

Terima kasih sahabat
kerana hadirmu
amat mendamaikan
menyejuk rasa

yang hangat membara.

Terima kasih sahabat
kerana mengirimkan
bunga-bunga kasih
yang kembang mekar
harum mewangi

di taman hati.

Terima kasih sahabat
kerana memberikan
segumpal semangat
meneruskan perjuangan
muhasabah diri
dalam mencari
keredaanNYA.

Tuesday, April 21, 2009

Setulus Setia Seindah Nama

" Betapa Rasulullah S.A.W setia pada Khadijah, tiada seorang pun yang mampu mencapai takhta at-Tahirah dalam hati baginda S.A.W. Tidak juga Aisyah isteri yang dicintainya. Rasulullah S.A.W setia kepada semua isteri baginda, mengasihi setiap seorang dengan nilai masing-masing...."
Novel karya Siti Haznena Abdul Hamid ini amat sesuai dibaca bagi penggemar novel yang inginkan kelainan. Setiap patah katanya mengandungi makna tersirat. " Kalau adik jumpa, belikan untuk kakak ya." begitu berminat kakakku yang sorang ni.
Novel ini mengisahkan seorang lelaki yang bernama Bushra, telah memohon jawatan sebagai guru tuisyen di sebuah pusat tuisyen yang dimiliki oleh seorang gadis yang bernama Nazneen Ilyasa'. Sebenarnya Bushra merupakan seorang pekerja pencari jodoh Agensi Mahligai yang diminta oleh adik Nazneen iaitu Hakeem untuk menolong mencari jodoh untuk kakaknya. Sepanjang perkenalannya dengan Nazneen, Bushra telah tertarik dengan Nazneen dan terdetik di hati untuk memiliki Nazneen disebabkan oleh penampilan serta budi bahasa yang menarik berbanding dengan kekasihnya Zasha. Namun, Nazneen ialah seorang wanita yang mempunyai prinsip hidup tersendiri. Lamaran dari Kazim tidak dapat diterimanya kerana perbezaan pendapat mengenai konsep perkahwinan dalam Islam. Pertemuan semula dengan Alif, iaitu bekas sahabat yang dicintai telah menyemarakkan semula rasa kasih yang telah kecundang dan tertewas oleh pilihan sahabatnya itu sendiri yang telah mengahwini sahabat baik mereka. Akhirnya...jangan lupa membaca novel ini....menarik!

Seawal pagi...

Maha Suci Allah yang menjadikan langit dan bumi...penuh dengan ketenangan...di awal pagi ini..terbangun..Alhamdulillah masih diberi nafas untuk meneruskan perjuangan dalam mencari keredaanNYA..namun entah mengapa kenangan tetap hadir..bersemarak...lalu kuhimpun segala kenangan dan akan kupaparkan di sini...moga tetap bersemadi di hati...

Monday, April 20, 2009

Azan...


Suaranya berkumandang lagi...memperdengarkan seruan azan...memuji-muji nama Pencipta...Maha Suci Allah..Yang Maha Besar, Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani...Merdu juga suara si kecil itu. Ada bakat terpendam rupanya. Semenjak menjadi Johan pertandingan Azan peringkat Kawasan, dia begitu rajin pergi awal ke surau . Kembang kempis hidungnya bila dipuji. Moga ilmu yang diperolehinya dapat diamalkan sebagai bekalan menuju alam dewasa. InsyaAllah.

Friday, April 17, 2009

Yang Jauh..



Abangku sorang ni memang hobinya hampir serupa denganku. Suka bergambar, melukis dan melancong.Cuma dia lebih pandai. Sekarang dia berulang alik dari KL ke Tehran. Sempat juga mengirimkan gambar-gambarnya di sana. Terkadang rasa cemburu juga dengan rezeki yang diperolehinya. Namun masih tetap bersyukur. Mungkin dia lebih merasa keperitan untuk membina hidup. Justeru rezeki untuknya melimpah ruah. Anak kesayangan mak ni memang pandai mendidik. Anak-anaknya semua berjaya. Ternyata tidak sia-sia didikan ayah dan mak. Kasihkan Allah melebihi segala, solat jangan dilupa, hidup akan berjaya..dunia dan akhirat.. Alhamdulillah!

Monday, April 6, 2009

Taman Hati


Kulingkari hati dengan sebuah taman
Agar ia mampu menyejukkan rasa
Yang sering gundah gulana.
Kutanam pepohon harapan
Agar ia dapat memayungi jiwa
Yang tandus dan gersang.
Kubajai dan kusirami akar kehidupan
Dengan bekalan ketabahan dan semangat kental
Agar tidak layu dipanah mentari uji.

Taman hati,
Kupagari dirimu dengan tembok keimanan
Agar ia menjadi benteng
Menahan arus gelombang kehidupan.
Kuhiasi dirimu dengan bunga-bunga impian
Agar ia berkembang mekar
Mengharum kasih setulus hati,
Cinta abadi.

Andai..

Andai dapat diulangi sebuah pertemuan
akan ku sandarkan kata-kata hikmah
agar mampu memujuk rasa
yang kian gundah
membelit sangkar hati

Andai hati dapat kuselami
akan ku taburkan bungaan kasih
mekar mewangi di taman firdausi...

Andai aku ,menjadi kamu
mampukah rasa ini dipertahankan...?
sesekali..berkocak jua..
benteng..
keimanan...

Tuesday, March 31, 2009

Duniaku...

Maha Suci Allah yang menjadikan langit dan bumi dengan limpahan kurnia yang tiada tolok bandingnya! Alhamdulillah..Duniaku waktu kecil penuh dengan keindahan, keseronokan dan kasih sayang. Perjalanan masa mendewasakan arus kehidupan. Sewaktu sekolah rendah, aku tergolong dalam golongan pandai melukis..mungkin kerana minat yang mendalam serta dorongan ibuku tercinta yang sering melukis untukku..walau hanya menggunakan pensel..namun lakarannya penuh berseni...semasa di tingkatan tiga..aku mula meminati bidang sains..nak jadi doktor pula..hmm..masuk aliran sains..belajar tak sungguh-sungguh...kecundang jua akhirnya...namun atas dorongan keluarga dan rakan-rakan..dapat jua aku menebus kegagalan dengan lulus cemerlang buat kali kedua...Alhamdulillah kejayaan ini telah menyuburkan semangatku untuk memohon institusi pengajian..namun tak kesampaian...bermulalah kehidupan aku sebagai pekerja...di Statsym Sdn Bhd, Hewlet Packard Sdn Bhd...dan berkampung di Flat Jalan Tengah...Pulau Mutiara...semuanya bermula di sini...Duniaku....

Thursday, March 26, 2009

Yang Terpilih

Sebulat suara memilih,
Pemimpin dijulang
Peneraju cita-cita rakyat
Dalam harap penuh semangat
Mampu menggapai impian
Membentuk wawasan harapan.

Wahai pemimpin yang terpilih
Selamat berjuang!
Dengan semangat kental
Membina Negara tercinta
Mendaulat bangsa terunggul
Terbilang di mata dunia.

NURIN HANIS
25 Mac 2009
Seri Rawa, Kedah.
Berita Harian -28 MAC 2009

Semarak Kenangan

Salam kenangan
Sebuah pertemuan
Setulus kasih
Semarak kenangan!