Saturday, July 31, 2010

Penangan M16


Salam kembali di arena maya. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, otak semakin membeku. Tidak mampu untuk mencatat sebarang kata di taman hati ini. Subhanallah! Hanya kepada-Nya kita mampu berserah. Betapa kerdilnya diri ini...Kesibukan di sekolah amat memenatkan. Tambahan pula pelajar-pelajar akan menjalani peperiksaan tidak lama lagi. Doaku moga mereka akan berjaya. Siapalah kita untuk mengajar diri mereka. Ibu bapa mereka sendiri pun tidak terajar. Kata-kata nasihat dari guru bagai serpihan peluru yang menujah dan hanya melepasi cuping telinga mereka. Tidak sampai menepati sasaran yang dikehendaki. Berbalik kepada soal peluru. Baru-baru ini aku berkesempatan untuk memegang senjata M16 dan melepaskan sepuluh das tembakan menepati sasaran 65 mata.Wah! hebatnya cikgu...(perasan dah) ha..ha..tak sangka pula...dalam keadaan menggigil dan tidak selesa, aku masih boleh lakukan yang terbaik. Demi semangat juang....apapun boleh dilakukan. Namun pengalaman ini amat bermakna buat diriku (walaupun rasa macam nak demam).Ternyata cikgu juga hebat...he..he..(perasan lagi)...dan akan kuteruskan perjuangan ini...dalam mencari reda dan kasih-Nya. Moga kita berjaya sahabat.

Sunday, July 4, 2010

Seteguh Kasih Ayahanda

Pepohon nyiur melambai
menggamit memori usang
lembut angin bertiup
bagai membisik
kedengaran suaramu di mana-mana
gemersik sayup bercerita
menghiburkan hati yang lara.

Ayahandaku tercinta
kausuluh hati yang kelam ini
dengan kata-kata makna
menyiram pepohon hati
yang hampir layu digoda rindu
mengusir noda-noda tercela
yang sering menerjah minda.

Ayahandaku yang tersayang
hutan rimba kaugeledah
penat lelah tiada kauendah
keringat menitis tiada kaupeduli
tekun dan gigih
mencari setitis rezeki
bekalan anak dan isteri.

Ayahanda yang kukasihi
pesanmu menjadi azimat
semangatmu menjadi pendorong
cekalmu mendidik hati
betapa dirimu amat kuhargai
seteguh kasihmu
abadi dalam sanubari.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa,
Kedah.
(Berita Minggu : 04 Julai 2010)