Saturday, January 29, 2011

Secebis Renungan


Kata cendikiawan...
"Tunaikan apa yang diwajibkan Allah keatasmu, maka engkau akan menjadi orang yang paling hebat ibadahnya. Jauhi larangan-Nya, maka engkau akan menjadi orang yang paling zuhud. Terimalah dengan senang dan reda apa yang dibahagikan Allah untukmu, maka engkau akan menjadi orang yang paling kaya"

Wednesday, January 26, 2011

Semalam Yang Panjang Amat KuRindu

Semalam aku berdiri di situ, melihat kehijauan dedaunan segar merimbun melitupi bumi yang luas terbentang....saujana pandangan.Kedengaran burung-burung berkicauan riang menyanyikan lagu rindu. Nyaring bersahutan cengkerik memecah suasana malam yang hening.Betapa aku rindu saat-saat kesejukan mandi di telaga dalam gelap pekat kedinginan pagi. Bonda begitu sibuk menyiapkan sarapan pagi. Ayahanda pula sedang menyiapkan diri untuk memulakan tugas rutin, menoreh getah. Begitu tegap ayahanda melangkah menuju destinasi yang tersedia bagi mencari sesuap nasi. penat jerihnya tak mampu kutandingi. Besarnya pengorbanan mereka menjentik diri untuk menginsafi...betapa luasnya dunia ciptaan-Nya. Hanya yang mampu berusaha, bersabar..jua tabah dalam meniti perjuangan ini akan menemui reda dan kasih-Nya...dalam menjemput bahagia abadi...Salam tulus dari kejauhan...

Saturday, January 22, 2011

Pelajar baru

Kelihatan ramai pelajar-pelajar baru mendaftar di situ. Aqilah beratur sambil menunggu giliran.
" Adik orang Kedah ya" Soal pelajar senior yang mendaftar nama pelajar-pelajar baru di situ. Dah tahu bertanya pula. Gumam Aqilah di dalam hati.
"Ya, saya berasal dari alamat yang tertulis di borang itu". Aqilah menjawab sambil tersenyum.
Pelajar senior itu turut tersenyum. Mungkin faham agaknya. "Bukan apa, saya pun orang Kedah juga". Pelajar senior itu menambah lagi. Aqilah mengangguk-anggukkan kepalanya dan terus bangun setelah semua borang diserahkan kepada pelajar senior yang peramah itu.
Selepas mendaftarkan diri, Aqilah mendapatkan abang Hamid untuk mengambil beg dan terus menuju ke arah banggunan asrama yang ditunjukkan oleh pelajar senior tadi. Banggunan setinggi dua belas tingkat itu berdiri megah menyambut kedatangan Aqilah dan pelajar-pelajar baru Kursus Perguruan sessi tahun tersebut.
Aqilah menaiki lif ke tingkat enam yang menempatkan pelajar-pelajar baru. Sampai di bilik A5-A6, Aqilah melihat ada seorang pelajar baru sedang mengemaskan katil. Pelajar tersebut memakai jubah dan tudung labuh.
“Assalamualaikum, boleh saya masuk?”.
Aqilah menghulurkan tangan tanda pengenalan. Pelajar tersebut tersenyum manis sambil menjawab salam Aqilah.
“Saya Nur Hayati, berasal dari Sungai Besar, Selangor, awak pula?”.
“Saya Aqilah Yani, berasal dari Alor Star, Kedah”.
Setelah bertukar-tukar cerita, mereka berdua turun ke tingkat bawah asrama untuk sessi suaikenal dengan pelajar-pelajar senior yang tinggal di asrama.
Warden asrama iaitu Puan Ros, memberi kata-kata perangsang dan mengingatkan pelajar tentang peraturan-peraturan yang harus di patuhi semasa tinggal di asrama. Bagi Aqilah, itulah pengalaman pertama dia tinggal di asrama, dan masih banyak yang perlu dipelajarinya terutama dari Nur Hayati yang telah biasa tinggal di asrama di zaman persekolahannya dahulu.
Selepas mendengar taklimat dari warden asrama, penghuni tingkat 6 diminta berkumpul di ruang hadapan tingkat 6 untuk mendengar taklimat kedua dari ketua tingkat 6 iaitu kakak Rohani.
“Garang betul ya muka kak Rohani tu ya,” Aqilah meluahkan pandangannya secara berbisik kepada Hayati. “Syyh, dia sedang perhatikan kita tu”. Hayati menyuruh Aqilah supaya mendiamkan diri.
“Hey, kamu,berdiri!” Suara Rohani, memecah kesunyian tingkat 6 tersebut.
Aqilah terkebil-kebil apabila melihat jari telunjuk Rohani tepat menuju ke arahnya. Peluh dingin menitis membasahi dahinya.
“Saya suruh semua diam, kenapa awak berbisik-bisik?”. Jerkah Rohani membuatkan perut Aqilah bertambah kecut.
“Ssaya, eh…maafkan saya.” Dengan cepat Aqilah menjawab. Hatinya berdebar-debar mengenang apakah denda yang akan dikenakan padanya nanti.
“Awak, menyanyi dua lagu, lagu negaraku dalam loghat Kedah dan satu lagi lagu cinta”.Tegas suara Rohani memberikan arahan.
Denda yang terlalu berat buat Aqilah. Kalau di suruh melakukan tekan tubi pun dia rasa mudah, tetapi kalau bab menyanyi ni, lemah lutut rasanya. Debaran hati Aqilah sampai ke kemuncaknya. Pertama kali mahu mengeluarkan suaranya di hadapan rakan-rakan setingkat. Malunyaa aku..!. Air mata Aqilah hampir menitis. Tiba-tiba tangannya digenggam erat oleh Hayati Gengaman tangan itu menghidupkan semula semangat Aqilah. Terima kasih teman kerana memberi semangat untukku. Renungan matanya mengucapkan rasa terima kasih buat Hayati. Hayati membalas dengan senyuman tanpa suara.
“Negaraku, tanah tumpahnya darahku…..” Suara Aqilah yang terketar-ketar dalam loghat Kedah menyanyikan lagu negaraku telah mengusik hati semua penghuni di tingkat 6 dan menyebabkan ketawa mereka pecah, termasuklah ketua tingkat tersebut. Rupa-rupanya, memang agenda pelajar-pelajar senior sengaja untuk mengenakan pelajar-pelajar baru bagi mengeratkan hubungan antara penghuni tingkat tersebut. Bukan Aqilah sahaja yang terkena pada malam itu, semua pelajar baru terpaksa mengikut arahan dan kehendak pelajar senior.

Sunday, January 16, 2011

Sepetang di Bustani~15.1.2011




Di sini keakraban terhimpun. Gembira dapat bertemu dengan sahabat-sahabat e-sastera.com. Moga dapat berjumpa lagi di HESCOM 2011 yang akan diadakan di Kedah. Jom mai ramai-ramai.

Wednesday, January 5, 2011

Renungkan kembali...

Kita seringkali bertanyakan persoalan yang mana telah termaktub jawapannya di Kalamullah..Al-Quran..renungkanlah...kerana di situ terungkai segala kekeliruan..di situ ditemukan jawapan.
1. Kenapa aku sering diuji? Jawapannya: (Al-Ankabut: 2-3)
[2]
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
[3]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
2. Kenapa aku tidak mendapat apa yang aku idam-idamkan? Jawapannya (Al-Baqarah: 216)
[216]
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
3. Kenapa ujian seberat ini? Jawapannya (Al-Baqarah: 286)
[286]
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
4. Kenapa rasa kecewa? Jawapannya (Ali-Imran: 139)
[139]
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
5. Bagaimana harus kuhadapi? Jawapannya (Al-Baqarah: 45)
[45]
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
6. Apa yang aku dapat dari semua ini? Jawapannya (At-Taubah: 111)
[111]
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
7. Kepada siapa aku berharap? Jawapannya (At-Taubah: 129)
[129]
Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."
Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Renungkan sejenak maksud ayat-ayat suci yang terkandung di dalam surah-surah tersebut. Moga kita memperoleh jawapan dan pengajaran.

Aku, Dia dan Cinta...

Kita meniti hari
di batas waktu itu
menyulam mimpi-mimpi indah
memaut kuntuman rindu
berseri mewangi hati.

Aku..dia..dan cinta...

Saturday, January 1, 2011

Selamat Datang 2011


Sedetik berlalu
meninggalkan seribu nostalgia
menghimpit rasa
dalam resah, rindu menjadi sendu
berbaur menerjah minda
terkadang akal menjadi sempit
bayangan kian menghilang
bersembunyi di balik awan
bergumpal menjadi kelam
dan hujan pun menitis
membasahi bumi yang kian tandus...

...dan jadikan derita lalu sebagai pengajaran serta bahagia mendatang sebagai impian yang tetap akan hadir menyelimuti hati...Selamat datang 2011...moga berbahagia sayang!