Saturday, January 22, 2011

Pelajar baru

Kelihatan ramai pelajar-pelajar baru mendaftar di situ. Aqilah beratur sambil menunggu giliran.
" Adik orang Kedah ya" Soal pelajar senior yang mendaftar nama pelajar-pelajar baru di situ. Dah tahu bertanya pula. Gumam Aqilah di dalam hati.
"Ya, saya berasal dari alamat yang tertulis di borang itu". Aqilah menjawab sambil tersenyum.
Pelajar senior itu turut tersenyum. Mungkin faham agaknya. "Bukan apa, saya pun orang Kedah juga". Pelajar senior itu menambah lagi. Aqilah mengangguk-anggukkan kepalanya dan terus bangun setelah semua borang diserahkan kepada pelajar senior yang peramah itu.
Selepas mendaftarkan diri, Aqilah mendapatkan abang Hamid untuk mengambil beg dan terus menuju ke arah banggunan asrama yang ditunjukkan oleh pelajar senior tadi. Banggunan setinggi dua belas tingkat itu berdiri megah menyambut kedatangan Aqilah dan pelajar-pelajar baru Kursus Perguruan sessi tahun tersebut.
Aqilah menaiki lif ke tingkat enam yang menempatkan pelajar-pelajar baru. Sampai di bilik A5-A6, Aqilah melihat ada seorang pelajar baru sedang mengemaskan katil. Pelajar tersebut memakai jubah dan tudung labuh.
“Assalamualaikum, boleh saya masuk?”.
Aqilah menghulurkan tangan tanda pengenalan. Pelajar tersebut tersenyum manis sambil menjawab salam Aqilah.
“Saya Nur Hayati, berasal dari Sungai Besar, Selangor, awak pula?”.
“Saya Aqilah Yani, berasal dari Alor Star, Kedah”.
Setelah bertukar-tukar cerita, mereka berdua turun ke tingkat bawah asrama untuk sessi suaikenal dengan pelajar-pelajar senior yang tinggal di asrama.
Warden asrama iaitu Puan Ros, memberi kata-kata perangsang dan mengingatkan pelajar tentang peraturan-peraturan yang harus di patuhi semasa tinggal di asrama. Bagi Aqilah, itulah pengalaman pertama dia tinggal di asrama, dan masih banyak yang perlu dipelajarinya terutama dari Nur Hayati yang telah biasa tinggal di asrama di zaman persekolahannya dahulu.
Selepas mendengar taklimat dari warden asrama, penghuni tingkat 6 diminta berkumpul di ruang hadapan tingkat 6 untuk mendengar taklimat kedua dari ketua tingkat 6 iaitu kakak Rohani.
“Garang betul ya muka kak Rohani tu ya,” Aqilah meluahkan pandangannya secara berbisik kepada Hayati. “Syyh, dia sedang perhatikan kita tu”. Hayati menyuruh Aqilah supaya mendiamkan diri.
“Hey, kamu,berdiri!” Suara Rohani, memecah kesunyian tingkat 6 tersebut.
Aqilah terkebil-kebil apabila melihat jari telunjuk Rohani tepat menuju ke arahnya. Peluh dingin menitis membasahi dahinya.
“Saya suruh semua diam, kenapa awak berbisik-bisik?”. Jerkah Rohani membuatkan perut Aqilah bertambah kecut.
“Ssaya, eh…maafkan saya.” Dengan cepat Aqilah menjawab. Hatinya berdebar-debar mengenang apakah denda yang akan dikenakan padanya nanti.
“Awak, menyanyi dua lagu, lagu negaraku dalam loghat Kedah dan satu lagi lagu cinta”.Tegas suara Rohani memberikan arahan.
Denda yang terlalu berat buat Aqilah. Kalau di suruh melakukan tekan tubi pun dia rasa mudah, tetapi kalau bab menyanyi ni, lemah lutut rasanya. Debaran hati Aqilah sampai ke kemuncaknya. Pertama kali mahu mengeluarkan suaranya di hadapan rakan-rakan setingkat. Malunyaa aku..!. Air mata Aqilah hampir menitis. Tiba-tiba tangannya digenggam erat oleh Hayati Gengaman tangan itu menghidupkan semula semangat Aqilah. Terima kasih teman kerana memberi semangat untukku. Renungan matanya mengucapkan rasa terima kasih buat Hayati. Hayati membalas dengan senyuman tanpa suara.
“Negaraku, tanah tumpahnya darahku…..” Suara Aqilah yang terketar-ketar dalam loghat Kedah menyanyikan lagu negaraku telah mengusik hati semua penghuni di tingkat 6 dan menyebabkan ketawa mereka pecah, termasuklah ketua tingkat tersebut. Rupa-rupanya, memang agenda pelajar-pelajar senior sengaja untuk mengenakan pelajar-pelajar baru bagi mengeratkan hubungan antara penghuni tingkat tersebut. Bukan Aqilah sahaja yang terkena pada malam itu, semua pelajar baru terpaksa mengikut arahan dan kehendak pelajar senior.

No comments:

Post a Comment