Sunday, May 29, 2011

Mengenang Tragedi

Perjuangan Perlu Diteruskan
(Buat Penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa)

Entah mengapa air mata bagai tak terasa
mengalir menuruni lembah hati
dipaguti rasa sayu dan hiba
melihat wajah-wajah pilu
menatapi rakan ukhuwah yang terdampar kaku
tiada lagi gelak ketawa jua gurau senda
mengiringi jalinan akrab berpadu kukuh
meneruskan sebuah perjalanan
ketikanya akan sampai
kembali jua kita pada-Nya.

Wahai anak-anakku
episod luka ini adalah secebis kepahitan
amat perit untuk ditelan walau masa silih berganti
biarpun sukar namun harus digagahi jua
kerana peringatan ini menyedarkan kita
yang sering alpa
hidup tidak selalunya indah
waspada tiap ketika.

Dalam meniti ranjau perjalanan
perjuangan perlu diteruskan
mengutip dedaunan impian
memaut reranting ketabahan
mendakap pepohonan harapan
moga mentari cekal akan tetap bersinar
menghulur sejambak bahagia
dipayungi reda dan kasih-Nya.

Al-Fatihah.

Nur Ain Hanis
Seri Rawa, Kedah.
21 Mei 2011

No comments:

Post a Comment