Saturday, May 21, 2011

Selamat Hari Guru

Ketika embun menitis membasahi daun-daun waktu
suria memancar indah tersenyum di birai kehidupan
seorang guru tetap gagah berdiri di situ
membilang bilah-bilah hari
menyongsong gagasan dan wawasan
membentuk transformasi menjana kecemerlangan.

Ketika seorang murid tidak mengenal apa
seorang guru begitu tega mengajar tulis baca
walau perit namun digagahi jua
tanpa penat tiada mengira bangsa
membentuk generasi peneraju negara
terbilang di mata dunia.

Seorang guru tetap tabah
biarpun badai datang melanda
walau tersadai di laut duga
meskipun hati berdarah luka
namun perjuangan ini tidak sia-sia
kerana rahmat-Nya tetap di cari
dalam menuju kehidupan abadi.

Bersatu teguh bercerai roboh
pepatah lama tetap dijunjung
semangat Hang Tuah tetap takkan luntur
berpantang ajal sebelum melangkah
tetap tersemat di gelanggang perjuangan
sebagai bekalan penyuntik azimat kecemerlangan
dalam satu hasrat berpadu di hati
serumpun bersama mendaki gunung-gunung harapan
menuju ke puncak jaya
memartabatkan bangsa di persada dunia.



Nur Ain Hanis
16 Mei 2011

No comments:

Post a Comment