Wednesday, January 25, 2012

Baca novel

Dua buah novel kuhabiskan dalam masa seminggu bercuti. Tertarik dengan judul novel Astana Kasih yang ditulis oleh Hashim Salleh. Novel ini padat dengan paduan kisah silam serta diselitkan unsur-unsur sejarah, cinta dan pengorbanan. Tahniah buat penulis! Karya Adileah jua tak kurang hebatnya dengan karyanya Menunggu Hujan membuatkan aku tak sabar2 untuk menghabiskan novel ini..tahniah Adi...:))

Tuesday, January 17, 2012

Sebuah pencarian


Dia tersenyum melihat rakannya yang turun dari kereta. Berkain pelikat dan berjubah labuh. Begitulah personalitinya. Andai itu pilihannya, aku tetap reda. Moga pencarianmu akan bertemu jalan menuju redaNya. Doa dan restu tetap mengiringi dalam meniti perjalanan hidup yang masih panjang. Moga kau berjaya anakku.

Sunday, January 15, 2012

MENEROKA KREATIVITI DEMI PRODUKTIVITI DI ESASTERA.COM~oleh Ibnu Din Assingkiri

Sumber: http://catatanseni.blogspot.com

Mukadimah
Bismillahirrahmanirrahim! “Salam eSastera, salam sastera tanpa kasta.”

Tulisan ini bertujuan memberi sedikit semangat dan berkongsi cara-cara untuk menghasilkan momentum menulis yang produktif di platform yang disayangi oleh penulis dan semua anggota penggiat/penulis eSastera.com. Tulisan ini berdasarkan pengalaman peribadi penulis sendiri dan tidak berniat menunjuk pandai atau merendahkan kredibiliti sesiapapun di eSastera.com atau di luar eSastera.com. Niat penulis ialah memeriahkan pengkaryaan di eSastera.com tanpa mengira latar dan senioriti kerana penulis percaya kepada sastera tanpa kasta, hanya wujud di eSastera.com. Tulisan ini juga tidak berniat menggurui kerana penulis sendiri masih seorang pelajar dan sedang menggunakan platform eSastera.com sebagai sekolah penulisan sastera.



Cabaran Kepada Penyair eSastera.com



Selain masalah tapak sesawang eSastera.com yang kadangkala merajuk, ramai penggiat/penyair eSastera.com tidak berkarya kerana mungkin kurang mendapat cetusan-cetusan ilham seperti yang diharapkan ataupun ada perkara-perkara lain yang menghalang kreativiti dan produktiviti mereka. Ini terlihat jelas dengan jumlah anggota yang tinggi namun yang berkarya hanya segelintir sahaja. Itupun hanya dari kelompok penyair yang sama. Alangkah elok jika eSastera dihias dengan karya-karya yang lahir dari pelbagai latar kehidupan penyair yang berwarna-warni. Ada berita baik untuk semua kerana Dr Irwan sedang dalam proses menyediakan tapak sesawang baru untuk kelancaran pengkaryaan semua penggiat eSastera.com iaitu e-sastera.com. Alhamdulillah!



Kreativiti Menulis Sajak



Selain bakat semulajadi, masing-masing penyair mempunyai kreativiti yang banyak dan belum diselongkar atau diterokai. Harus diingati, kreativiti adalah sesuatu yang boleh dipelajari dan diasah oleh setiap orang. Yang membataskan kreativiti dalam kebanyakan kes adalah tuan punya diri. Sebagai individu yang tidak dididik di sekolah atau IPT secara formal dalam sastera, penulis dapati kreativiti berkarya tetap datang kepada siapa saja. Kreativiti lahir dari cetusan-cetusan idea menarik yang melintas di depan penulis dan ditukangi menjadi sajak.



Terdapat ramai penyair siber yang giat menulis, terdiri dari bukan lulusan sastera seperti Dr. Irwan, pengasas eSastera.com, lulusan kejuruteraan dan begitu juga dengan beberapa penyair lain di eSastera termasuk penulis sendiri. Sahabat penulis yang menulis di tapak sesawang sastera siber lain datang dari pelbagai bidang pengajian tapi hanya sejumlah kecil merupakan lulusan sastera. Ini menunjukkan bahawa kreativiti menulis sajak ada pada semua individu dan tergantung kepadanya sendiri samada akan menukangi kreativiti itu menjadi sajak atau tidak. Jika anda seorang lulusan sastera, itu adalah bonus untuk anda lebih kreatif dan inovatif!



Kreativiti merujuk kepada fenomena di mana seseorang itu mencipta sesuatu yang baru, segar dan tidak menyamai rekaan sebelumnya. Dalam konteks penulisan sajak, penyair begitu berhati-hati dalam menulis supaya ciptaan barunya sentiasa segar dan tidak merupakan klise atau pengulangan dari tulisan penyair-penyair lain. Inilah cabaran paling hebat kepada penyair iaitu untuk sentiasa segar dan mungkin sedikit futuristik dalam sajaknya. Dalam hal ini, ramai juga yang sesat dalam pencarian. Akhirnya menyepi dan sunyi dari membuahkan karya di eSastera.com. Alangkah ruginya jika bakat penulisan ditinggalkan bersawang dalam diri sendiri tanpa diluahkan ke khalayak umum.



Terperangkap Dalam Lubang Klise



Menurut Muhammad Haji Salleh (1984, 2005), kata-kata yang tergolong klise ini biasanya tumpul dan tiada mencabar minat pembaca, tiada menolong menggambarkan pengalaman yang dalam, baru atau luar bisa.



Jangan terlalu risau kelihatan klise kerana setelah membaca purata sehari tiga puluh buah sajak selama lebih setahun di Facebook.com, saya dapati secara sedar atau tidak penyair akan mengulangi kata dan bentuk sajak yang menyamai penulis terdahulu. Jadi, jika terlalu takut untuk mencuba, kita tidak akan tahu betapa klisenya kita. Bagaimana kita dapat memperbaiki kekurangan jika karya itu tidak dimuat-naik ke eSastera.com untuk diapresiasi (baca: kritik) dan seterusnya diberi usul pembaikan.



Penyair harus memperbanyakkan membaca karya sajak penyair lain, mapan atau tidak; pemula atau orang lama. Peluang membaca secara percuma tersedia di eSastera.com. Jangan menggariskan kasta di antara sesama sendiri dalam apresiasi karya. Anda mungkin terkejut kerana ada orang-orang muda yang mantap karyanya seperti Khalil Zaini, NFaizal, Nilamcemara, Siti Aksara juga penyair-penyair lain (yang juga masih muda) seperti Dahna, Nur Ain Hanis, Aziz Zabidi dan lain-lain yang tak disebutkan di sini.



Dengan apresiasi begini kita mungkin dapat mengenal pola dan langgam penulisan yang telah pernah ditulis oleh individu lain. Secara umumnya bagi penulis, terdapat beberapa cara di mana dapat mengurangkan klise. Pertama pilihlah jalan untuk mengolah kata-kata terbiasa (baca:klise) itu agar kedengaran lebih segar.



Kata, “aku binatang jalang” sudah tentulah terang-terang menjadi klise. Begitu juga “secangkir rindu” dan “tirai malam pun berlabuh” sebagai contoh dari lebih banyak contoh klise. Penggunaan kata-kata ini yang menjerumuskan kita ke lubang klise. Kreativiti menuntut penyair mereka-cipta atau memilih kata lain sebagai ganti kata-kata yang telah menjadi artifak arkeologi perpuisian ini. Jika tidakpun, berilah nafas baru kepada kata-kata yang telah luntur ini.



Sebagai contoh, “aku primat liar” sebagai ganti “aku binatang jalang”, “malam bermukenah hitam” sebagai ganti “tirai malam pun berlabuh”, “sesudu rindu” sebagai ganti “secangkir rindu” Ini juga sebahagian dari proses kreativiti dengan cara memberi “facelift” kepada kata yang sedia ada dan telah sebati dengan diri penulis.



Meneroka Trend Baru



Trend baru dalam penulisan sajak terdapat pada contohnya sajak Puzi Hadi yang menerokai penggunaan titik dan susunan aksara dalam sajak konkrit berjudul “Pangkor, Nostalgia II”. Azmi Rahman juga pernah mengahwinkan puisi-puisi tradisi ke dalam satu sajak yang berjudul “ Satunmansa*Benih Menjadi Membenih Menjadi Membenihkan.” Inilah yang dikatakan sebagai trend baru yang segar dalam penulisan. Janganlah pula takut berpolemik jika kita memulakan trend baru yang sensasi kelainannya. Jika kita mencetus trend, setidak-tidaknya karya kita akan diingati dan tidak akan mati sampai bila-bila. Bukankah eSastera.com adalah masa depan sastera Malaysia? Jadi, marilah sama-sama meneroka atau mungkin mencipta trend baru.



Tangkap dan Simpan Cetusan-cetusan Idea yang Melintas



“Kreativiti lahir dari cetusan-cetusan idea menarik yang melintas di depan penulis dan ditukangi menjadi sajak.” -Ibnu Din Assingkiri



Ungkapan di atas mungkin dipetik dari kata-kata biasa dari orang biasa tapi akan dikupas dengan lebih dalam lagi. Penyair yang peka akan mendapat cetusan idea dari sumber-sumber seperti khutbah jumaat, cerita kartun, filem, sembang kedai kopi, melihat kejadian alam, sketsa kehidupan di persekitaran, sketsa semasa berkunjung ke luar kota, melancong dan sebagainya. Secara ringkasnya, penyair harus peka dan menangkap cetusan-cetusan idea yang melintas di depan matanya, tak kira di manapun atau di ketika manapun dia berada.



Dr Irwan bersatira refleksi dengan selamba dan berkesan dalam sajaknya yang berjudul “Mencermin Diri di Muka Dinding” yang juga dideklamasikan dengan penuh bersahaja di Hescom 2011. Hasimah Harun pula mengambil isu politik semasa dalam sajak tajam berbalut kata-kata yang tidak begitu keras (namun pedas terasa di dalam) dalam sajaknya yang berjudul “Mooo....Kondominium Condong di Penjuru Disember.” Mansor A Hamid menulis tentang pintu, sesuatu yang sering kita lalui setiap hari dalam sajaknya “Sedikit Tentang Pintu”. Brirasa pula berekspresi dengan metafora buah-buahan di gerai dalam sajak yang penuh rasa berjudul “Perbendaharaan Cinta di Gerai Buah” Moktarahman menulis sketsa tentang pemuzik jalanan di Bandung dalam sajaknya berjudul “Harga Seorang Seniman Jalanan.” Ahkarim menulis satira ketika menjadi telinga dalam sebuah mesyuarat melalui sajak mantap berjudul “Doa Telinga Dewan” Idea-idea ini tentulah melintas di hadapan penyair-penyair mapan di eSastera.com dan tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja lantas ditukangi menjadi sajak yang mantap.



Bagi penulis pula, sesuatu idea yang menarik perhatian akan ditulis di dalam nota telefon bimbit dan jika ada kamera akan ditangkap gambar supaya idea itu tidak hilang begitu sahaja (maklumlah sudah semakin berumur). Salah satu contoh tentang idea menarik yang melintas di hadapan penulis ketika sedang makan laksa di bawah pokok ceri. Di sebelah gerai laksa ada seorang apek tua sedang menjual durian. Pemerhatian kepada apek tua yang gigih berniaga telah mencetuskan idea yang menarik lalu ditulis di nota telefon bimbit dan kemudiannya ditukangi menjadi sajak sketsa ini:







PELAJARAN DI BAWAH POKOK CERI



di bawah pokok ceri



Jalan Bagan Lalang,



aku ternganga kepedasan



tergigit cabai melaka



dalam ralit menikmati



semangkuk laksa (besar)



di tepi pagar padang bola







di sebelahku ada apek,



selonggok durian dan pelajaran



kali ini, bukan kisah hantu lapar



atau kisah di ladang tebu...



tentang hidup tanpa subsidi



terbiasa merasakan dianaktiri



hingga tua, masih berdikari







dia apek penjual durian



dia juga, guru kehidupan.







eSastera.com/penyair/2011(Julai-Disember)







Hampir sembilan puluh peratus karya penulis yang mutakhir ditulis dengan menggunakan cara ini dan telah terbukti dapat menambah kreativiti dan produktiviti dalam pengkaryaan sajak.



Menukangi Cetusan Idea Menjadi Sajak



Semua penyair telahpun mengetahui cara-cara untuk menukangi sajak mereka tapi ada juga yang terlalu terburu-buru untuk muat-naik ke laman eSastera.com. Mungkin ada di kalangan penyair teruja untuk berkarya dan ini adalah sesuatu yang sihat buat eSastera.com. Masalah kecil akan dihadapi oleh penyair jika terburu-buru memuat-naik sajak baru ialah apabila penyair dapati masih ada kemasan-kemasan terakhir yang perlu diedit tetapi semua telah terlambat. Bagi penulis, langkah-langkah yang diambil ialah kembangkan dulu idea yang melintas itu dengan menulis kembali secara prosa atau baris-baris panjang, kemudian pangkas dan mantapkan menjadi bentuk sajak, endap selama sekurang-kurangnya sehari atau selepas tidur malam, edit di keesokan harinya dan muat-naik ke eSastera.com setelah benar-benar berpuas-hati.



Adalah penting untuk mengedit semasa sedang segar atau ketika memulakan hari baru kerana jika diedit pada hari yang sama, kemungkinan besar akan terlepas pandang kesilapan kerana sebagai editor karya sendiri, penulis sering gagal mengesan kesilapan diri sendiri. Jika diendap selama sehari, pada kebanyakan kes, penulis dapati banyak kesilapan dapat dikesan oleh mata dan pemikiran yang segar.



Mengekalkan Momentum Pengkaryaan



Cara terbaik untuk mengekalkan momentum produktiviti karya ialah jangan berada pada hanya satu gaya. Tulislah sajak trend baru, sajak eksperimen, sajak tradisi, sajak prosa, sajen, sajak akrostik, sajak sarkastik, sajak kamar, sajak gelap, sajak mbeling, haiku, soneta atau apa saja jenisnya dan juga sajak bahasa asing jika ada kebolehan. Ubahlah tema sajak sekali-sekali dari cinta kepada religi, satira, ode, filosofi dan sebagainya. Caranya ialah, jika anda kering idea menulis dalam sesuatu jenis sajak, cubalah jenis yang lain. Dengan tidak berhenti di situ, anda masih berada dalam momentum menulis. Jika anda berbuat begini anda tak bakal kehilangan momentum (lajakan) dalam pengkaryaan. Mengekalkan momentum akan membuatkan pengkaryaan anda menjadi produktif.



Saling Menginspirasi



Bagaimana menginspirasi dan terinspirasi dari karya sahabat lain jika jarang masuk ke eSastera.com? Sesungguhnya sajak-sajak rakan seperjuangan di eSastera.com banyak yang menginspirasikan penulis untuk menghasilkan sajak. Kadang-kadang kita perlukan inspirasi dari sajak orang lain ketika kita sedang kemarau idea untuk berkarya. Cara untuk mendapat inspirasi yang indah dan percuma ialah masuk ke tapak sesawang eSastera.com dan membaca karya rakan seperjuangan kita yang berwarna-warni. Sajak S.Iqram, pemenang APAS 2011 berjudul “Catatan Pada Batu” telah menginsiprasi penulis untuk menghasilkan sajak berjudul “Di Sisi Bisu Batu.” Alangkah indahnya inspirasi dari rakan seperjuangan diabadikan di sub judul sajak – “Terinspirasi Dari Sajak Catatan Pada Batu Karya S.Iqram”



Saling Mengapresiasi



“Penyair takkan mati dikritik, bahkan menambah kekuatannya.”- Ibnu Din Assingkiri. Semakin banyak penyair dikritik dan jika dia tidak merajuk dan menyepi akan menjadikannya lebih kuat kerana telah mendapat paling banyak maklumbalas untuk memperbaiki karya seterusnya. Ada kata-kata madah Inggeris“the biggest risk is not taking any risk at all” (risiko terbesar ialah langsung tidak mengambil risiko) – sumber tidak diketahui. Jika penyair tidak berani muat-naik sajaknya ke eSastera.com, bagaimana pula dia bakal mendapat maklumbalas tentang kelemahan atau kekurangan karyanya? Begitulah intipati madah Inggeris tersebut jika dilihat dari konteks tulisan ini.



Sesetengah penyair takut dikritik. Entah mengapa dan apa alasannya hanya tuan punya diri yang lebih mengetahui. Tapi apapun alasannya, jika penyair tidak berani berkarya kerana takut atau serik dikritik, ini adalah kerugian besar kerana mensia-siakan proses pembelajaran percuma di eSastera.com. Proses apresiasi sajak adalah proses di mana penyair mendapat maklumbalas percuma dari penyair lain yang memberi masukan dan pendapat dari pandangan mata penyair. Ini adalah ilmu yang bernilai tinggi yang sepatutnya diambil, dibuat tindakan pembetulan dan dihargai dengan ucapan terima kasih. (yang paling penting, ianya percuma)



Di sinilah masing-masing penyair memainkan peranan penting untuk memberi semangat kepada penyair lain yang kurang berkarya. Penyair yang aktif juga perlu dimotivasikan agar tidak merasa terpinggir dan mulai “kendur” di tengah jalan. Perkara yang paling tidak sihat jika berlaku (elakkan segera jika berlaku) ialah mengapresiasi sajak penyair-penyair tertentu yang merupakan sekufu atau dirasakan sekasta. Perbuatan sebegini dalam jangka masa panjang akan membunuh semangat berkarya penyair yang baru dan lama.



Tentang tatacara mengapresiasi sajak, telah diforumkan oleh pengasas bersama eSastera.com Hashimah Harun pada 31 Mei 2010 dengan perbandingan lapik bahasa antara suami-isteri yang sangat cerdas dan menginspirasi. Hashimah Harun berpesan di forum (http://www.esastera.com/komuniti/forum.asp?c=11&ID=424), “Maka tuan-tuan dan puan-puan, pada pandangan tuan-tuan dan puan-puan dalam hal persajakan di esastera, elokkah diberi pandangan yang boleh membina kemajuannya? Beri saja kritikan pedas sewenang-wenang tanpa selindung? Elok berhati-hati semasa memberi komen? Tak payah nak komen apa-apa kalau kita rasa macam nak kutuk saja?”



Bagi penulis, kita sebagai orang Islam dan mungkin berketurunan Melayu, eloklah kita berlapik sedikit dalam berbahasa. Jika rasa kritikan itu terlalu pedas, tulislah kata, “hadir membaca” sebagai tanda anda telah hadir ke laman penyair tersebut. Kata-kata kita mungkin menjadi pembunuh senyap kepada karyawan yang lembut hatinya. Jika kita hadir membaca tanpa maklumbalas juga akan membunuh semangat penyair kerana disangka tiada yang berminat membaca karyanya. Tidak semua penyair berhati waja seperti pengkritik. Fikir-fikirkanlah...



Cabar Diri Sendiri



Seperti kebanyakan hal yang menyangkut kebiasaan, kita akan “seasoned” atau luntur bila terlalu lama dengan satu kebiasan. Akibatnya kita akan mengendurkan diri sendiri. Jika tidak ingin kendur dan berkarat, maka kita harus sentiasa mengubah kebiasaan dengan mencabar diri sendiri kepada sesuatu yang lebih ekstrim dari biasa. Begitu juga dalam hal pengkaryaan di eSastera.com. Setelah meneroka hal-hal berkaitan kreativiti dan bagaimana berada dalam “lajakan” momentum pengkaryaan, bagaimana pula kalau kita memberi cabaran kepada diri sendiri. Cabaran dalam ertikata mencabar kebiasaan. Bagi penulis pula jika sebelum ini penulis menghasilkan satu sajak dalam seminggu, sekarang penulis ingin mencabar diri sendiri menulis sehari satu sajak. Marilah sama-sama mencabar kebiasaan. Semoga tapak sesawang eSastera.com akan menjadi lebih meriah lagi.



Sedikit Garis Panduan Penulisan Sajak Siber dan Penutup



Seperti yang telah diketahui, penulisan sajak siber memberi kebebasan berekspresi namun kita masih tertaluk kepada tapisan kendiri yang matang. Menulislah dengan hati, kemudian ditimbang dengan akal sihat sebelum dimuat-naik ke eSastera.com. Kita harus mengenali batas-batas susila dan tidak menggunakan kata-kata vulgar menghina wanita yang merupakan ibu, adik, kakak dan anak-anak kita dan juga orang lain. Kata-kata Eziz Shukman, seorang penyair yang sering berekspresi dengan tema religi dan sufism sangat-sangat menginspirasi dan menjadi garis panduan kepada penulis dalam berkarya. Dalam komentar di komuniti profil pada 11 Ogos 2011, (http://www.esastera.com/komuniti/message.asp?c=9&ID=29789)



Kata Eziz Shukman,“berkaryalah bersama demi bangsa, negara dan agama” Pada pendapat penulis, ini adalah cara sebenar untuk berkarya iaitu bermula dari nawaitu dan seterusnya kepada cara-cara perlaksanaan ke dalam pengkaryaan. Semoga pengkaryaan kita tidak tersasar dari landasan agama. Semoga kita sentiasa menulis dan terus menulis dalam keadaan matang dan sedar diri sendiri, InsyaAllah, Amin!. Semoga tulisan ini bermanafaat kepada pembaca. Segala keelokan datang dari Allah dan keburukan tulisan ini adalah dari penulis sendiri. Mohon maaf sekiranya ada yang kurang berkenan di hati. Saya sudahi tulisan dengan pantun buat mengingatkan diri sendiri dan rakan seperjuangan di eSastera.com.



PANTUN SI TUKANG TULIS







makan pulut sampai terlena,



terlupa pula pergi ke pasar;



kalau penulis bertuhankan pena,



tintanya mabuk hingga tersasar.







ikan terubuk jangan dimakan,



awas nanti tulangnya tersekat;



jadi penulis jangan abaikan,



pesan baik untuk masyarakat.







daun pegaga dibuat jamu,



paling wangi sidaun pandan;



menulis harus berteras ilmu,



diambil pembaca buat teladan.







hujan turun basahkan tanah,



padi menjadi amatlah subur;



kalau menulis harus amanah,



fitnah jangan sesekali ditabur.







sedap sungguh gulai semalam,



makan bersama sayur keladi;



tulislah rasamu paling dalam,



kemudian ditimbang akal budi.







bunga kemboja di dalam pasu,



susun sebaris di hujung taman;



jangan menulis terburu nafsu,



jadi sejarah zaman-berzaman.







eSastera.com/pantun/2011(Julai-Disember)



Di balas pula dengan pantun nasihat buat penulis oleh MokhtarSahMalik:



Tulang sup ratah di pinggan,
Garam dibubuh daun pudina;
Tukang tulis bukannya ringan,
Menajam kata di mata pena.

Sunday, January 1, 2012

Penghujung Rasa Di Langit Disember


Tatkala awan gemawan beredar menutupi gerhana bulan
langit Disember seakan menangis meratapi sebuah perpisahan
hilangnya roh dari jasad yang menderita itu
menjemput tenang dari sebuah keabadian hakiki.

Suara angin lembut gemersik berbisik
menitip kata rindu kenangan lalu
setahun sudah berlalu
ombak derita yang sering menghempas
mengalun lagu duka lara
berteman butiran pasir yang tetap setia
menyambut reda dan pasrah pada-Nya.

Butiran manik-manik jernih
membasah pipi seorang ibu tua
menangisi pemergian sebuah derita
seorang anak yang berkurun terlantar
dek penangan dadah durjana.

Di penghujung rasa ini
doa ibu tetap mengiringi
walau di mana jua berada
setulus kasih abadi
tetap terpahat di sudut hati suci.

Berita Minggu~1 Januari 2012

Selebat Hujan Di Pagi 2012

2012 muncul jua. Alhamdulillah diberi kesempatan-Nya menghirup udara segar di kedinginan pagi. Hujan lebat mencurah-curah. Moga curahan hujan ini akan menyejukkan suasana 2012 yang penuh mencabar. Buat anak2ku...teruskan tugas kalian..moga terus berjaya. Insya-Allah.